Terima kasih atas segalanya Negeri Sembilan – Aminuddin

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 4:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terima kasih atas segalanya Negeri Sembilan – Aminuddin

SEREMBAN: Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan peluang memimpin Negeri Sembilan sebelum ini sebagai satu amanah besar yang dipikul dengan penuh keikhlasan serta sebaik kemampuannya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan hati yang reda dan penuh keinsafan serta menyifatkan setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmah yang lebih besar daripada apa yang mampu dilihat pada hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, doa, teguran dan kasih sayang sepanjang perjalanan politiknya.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen beliau bukan sekadar melihat kepada angka dan undi, sebaliknya lebih menghargai pertemuan dengan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda, ibu bapa, warga emas dan kanak-kanak yang disifatkannya sebagai kenangan paling berharga melebihi apa jua keputusan pilihan raya.

Katanya, beliau juga berasa amat bertuah kerana diberi peluang memimpin Negeri Sembilan dan menganggap jawatan Menteri Besar sebagai satu amanah yang dipikul dengan seikhlas hati serta sebaik kemampuan yang dikurniakan Allah SWT.

“Saya tidak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya. Namun saya berharap sepanjang memegang amanah ini, rakyat akan mengingati bahawa saya telah berusaha sedaya upaya untuk berlaku adil, bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan Negeri Sembilan mengatasi segala-galanya.

“Jika ada kebaikan yang dirasai, itu datang dengan izin Allah SWT dan hasil usaha bersama seluruh warga pentadbiran serta rakyat Negeri Sembilan. Jika ada kekurangan, saya memohon ampun dan maaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin berkata, perjuangan untuk berkhidmat kepada masyarakat tidak berakhir dengan satu pilihan raya dan beliau akan terus menyumbang selagi diizinkan Allah SWT.

“Tahniah dan selamat maju jaya kepada kepimpinan yang telah diberikan amanah oleh rakyat serta mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan mengurniakan kebijaksanaan dalam mentadbir Negeri Sembilan.

“Doa saya hanya satu. Semoga Negeri Sembilan sentiasa dipelihara Allah SWT, dipenuhi keberkatan, keamanan dan kemajuan. Terima kasih, Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN

The post Terima kasih atas segalanya Negeri Sembilan – Aminuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved