OPPO Find X9 Ultra baru sahaja dilancarkan untuk pasaran global. Ini mungkin salah satu model yang kebanyakan peminat fotografi tertunggu. Ini juga model Ultra dari OPPO yang akan memberikan saingan kepada beberapa model Ultra dari jenama lain terutamanya dari segi keupayaan kamera. Teruskan membaca artikel ulasan ini untuk ketahui lebih lanjut tentang peranti paling berkuasa dari OPPO ini.

| OPPO Find X9 Ultra | |
|---|---|
| Skrin | 6.82-inci, 1440 x 3168 piksel LTPO AMOLED, 144Hz, 3600 nits (peak) 19.5:9 ratio (~453 ppi) Corning Gorilla Glass Victus 2 |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (4nm) |
| Cip | 2×4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 6×3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M |
| Cip Grafik | Adreno 840 |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 512GB (tiada mikroSD) |
| Kamera Utama | 200 MP, f/1.5 (lebar), PDAF, OIS 50 MP, f/2.0 (ultra-lebar) 200MP, f/2.2 (telefoto), OIS, 3x Optikal 50MP, f/3.5 (telefoto), OIS, 10x Optikal 4K@30/60/120fps 8K@30fps |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.4 (lebar), 4K@30/60fps 1080p@30/60fps |
| Bateri | Si/C Li-Ion 7050 mAh 100W SUPERVOOC berwayar 50W AIRVOOC |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/69K |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 6799 (12/512GB) RM 7799 (16/1TB) |
Rekaan
Rekaan yang ada pada OPPO find X9 Ultra ini menarik perhatian saya apabila kali pertama melihatnya terutamanya untuk pilihan warna Tundra Umber ini. Rekaan yang OPPO bawakan ini diinspirasikan dari kamera Hasselblad X2D 100C Earth Explorer Edition. Panel belakang menggunakan kulit yang tidak mudah memerangkap kesan cap jari. Ini adalah pendekatan yang baik diambil oleh OPPO dengan menggunakan rekaan yang diinspirasikan oleh kamera Hasselblad kerana ia terus membuatkan peranti ini kena dengan nama Ultra itu.


Rekaan modul kamera pada model Ultra ini juga berbeza dengan model Pro sebelum ini. Ia menggunakan rekaan modul yang membulat yang diberi nama Master Lens Design walaupun begitu rekaan ini kelihatan sama sahaja dengan beberapa peranti pesaing jadi mungkin anda tidak dapat bezakan peranti ini ketika dipasang kerangka. Bonggol kamera juga agak tebal namun saya tidak kisah kerana ia memuatkan perkakasan kamera yang sangat berkuasa.


Keseluruhan tubuh juga berkotak dan sangat selesa apabila digenggam. Bingkai pada bahagian sisi pula menggunakan bahan aluminium dengan kemasan matte manakala kedudukan butang pula serupa dengan Find X9 Pro cuma camera button sahaja yang mendapat sentuhan eksklusif warna oren Hasselblad.
Skrin
Jika anda menginginkan skrin terbaik pada sesebuah peranti, saya pasti yang Find X9 Ultra ini tidak akan mengecewakan anda. Setelah 2 minggu penggunaan saya tidak dapat jumpa kelemahan yang ada pada skrin Find X9 Ultra ini. Ia dilengkapi dengan skrin AMOLED beresolusi QHD+, Dolby Vision dan HDR10+. Untuk kadar segar semula, ia mampu mencapai sehingga 144Hz namun dalam beberapa permainan sahaja dan untuk penggunaan biasa masih lagi dari 0-120Hz dengan penggunaan panel LTPO.


Penggunaan diluar juga tidak memberikan apa-apa isu kerana kecerahannya agak tinggi jadi tiada masalah untuk sesi mengambil gambar bawah cahaya matahari. Penghasilan warna pada skrin ini juga tepat kerana mempunyai DCI-P3 100% dan juga 10-Bit jadi untuk suntingan gambar, video atau sekadar melayan kandungan di media sosial semuanya akan kelihatan cantik . Dari segi perlindungan skrin, OPPO memberikan kualiti yang tertinggi melalui penggunaan Corning Gorilla Glass Victus 2.
Perisian
OPPO Find X9 Ultra ini menggunakan ColorOS 16 berdasarkan Android 16 sebaik sahaja keluar dari kotak. Pengalaman penggunaan masih lagi lebih kurang sama seperti ColorOS yang saya pernah guna pada Reno15F dan ini menunjukkan OPPO memberikan prestasi yang konsisten untuk kesemua peranti mereka. Semuanya terasa sangat lancar pada peranti Ultra dari OPPO ini, baik dari segi animasi atau membuka tutup aplikasi.

Antaramuka yang ada pada ColorOS ini kelihatan ceria dan terdapat pelbagai pemperibadian yang boleh dibuat mengikut kehendak pengguna. Saya gemar juga dengan perisian dari OPPO ini kerana ia tidak membuatkan anda kekok untuk menavigasi dalam ColorOS ini walaupun anda menggunakannya kali pertama.

Satu ciri yang menarik perhatian saya adalah dalam AI Mind Space dimana anda boleh bertanya apa-apa soalan dan memilih AI yang anda sukakan kerana terdapat pilihan antara Gemini, Perplexity atau ChatGPT malah sebenarnya anda boleh pilih ketiga-tiga sekaligus dan bandingkan jawapan mereka. Terdapat beberapa lagi ciri AI menarik seperti AI Bill Manager untuk urus perbelanjaan dan juga AI Menu Translation yang sesuai digunakan ketika melancong.

Walaupun begitu, isu dengan aplikasi gendut masih belum hilang sepenuhnya cumanya aplikasi yang tersedia sebaik sahaja anda hidupkan peranti ini tidak sebanyak seperti yang ada pada peranti kelas pertengahan mereka dan aplikasi yang tersedia juga kebanyakannya aplikasi harian yang selalu digunakan.
Prestasi
Sebagai peranti Ultra, OPPO memberikan prestasi yang terbaik melalui penggunaan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digabung dengan penggunaan memori 16GB dan pilihan storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Prestasi pada awal penggunaan ini seperti yang boleh dijangka dengan cip paling berkuasa untuk Android ini ia mampu melakukan apa-apa tugasan dengan mudah.
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Xiaomi 17 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Realme GT8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- iQOO 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- OnePlus 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Oppo Find X9 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17 | 3,530,586 |
| Realme GT8 Pro | 3,066,488 |
| iQOO 15 | 3,726,305 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Xiaomi 17 | 3294 | 9416 |
| Realme GT8 Pro | 3482 | 8153 |
| iQOO 15 | 3480 | 9789 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17 | 5491 |
| Realme GT8 Pro | 5461 |
| iQOO 15 | 6788 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Jika dilihat daripada skor penanda aras, anda memang tidak perlu risau dengan prestasi yang peranti ini dapat berikan. Saya boleh katakan yang, buatlah apa-apa tugasan pada peranti ini ia masih dapat berikan pengalaman yang sangat pantas dan memuaskan. Pengurusan memori juga sangat baik dengan bantuan 16GB RAM LPDDR5X kerana saya tidak terasa apa-apa.


Kalau ada satu benda kurang baik yang boleh saya katakan adalah pengurusan haba pada OPPO Find X9 Ultra ini. Semasa sesi gaming yang berpanjangan atau tugasan yang berat seperti menyunting gambar tahap kepanasannya tidaklah begitu terasa namun sebaik apabila menggunakan kamera ia cepat menjadi panas lebih-lebih lagi jika mengambil gambar bawah cahaya matahari yang terik.

Namun perkara ini tidak menjejaskan prestasi pada OPPO Find X9 Ultra ini semasa sesi mengambil gambar kerana tiada apa-apa amaran yang keluar ketika peranti sedang memanas dan peranti juga tidak menjadi perlahan cuma ia akan menjejaskan pengalaman anda sedikit ketika mengambil gambar.
Kamera
Keutamaan semestinya diberikan pada sistem kamera OPPO Find X9 Ultra ini. Sistem kamera OPPO Find X9 Ultra ini dilengkapi dengan lensa utama 200MP f/1.8, 200MP lensa periskop telefoto dengan zum optikal 3x, satu lagi lensa periskop telefoto 50MP yang mempunyai keupayaan zum optikal 10x dan lensa ultra lebar 50MP sebagai pelengkap. Lensa swafoto pula adalah 50MP.

Kemampuan kamera pada OPPO Find X9 Ultra ini sememangnya sangat menakjubkan. Hasil gambar kelihatan sangat tajam dan cantik lebih-lebih lagi jika anda menggunakan mod Hi-Res 200MP. Sebenarnya saya lebih suka mod Hi-Res ini kerana gambar tidak terlalu diproses dengan AI jika dibandingkan dengan mod biasa. Warna Hasselblad masih lagi boleh dilihat dengan jelas kerana nampak pekat namun masih ada beberapa filter yang tersedia untuk anda bereksperimen.






Keupayaan zum dengan lensa telefoto yang ada pada OPPO Find X9 Ultra ini terus menjadi kegemaran saya. Dengan gabungan dua lensa telefoto berbeza yang dapat memberikan zum optikal 3x dan juga 10x, ia menambahkan lagi fleksibiliti zum pada peranti ini. Pada awal penggunaan, saya dapati yang zum 10x ini agak sedikit lembut setelah diproses. Namun setelah dapat kemaskini perisian, masalah ini terus diselesaikan. Dari segi warna dan ketajaman masih kelihatan baik cuma gambar akan diproses sekita 2-3 saat.








Saya juga berpeluang untuk menggunakan OPPO Find X9 Ultra ini bersama dengan lensa teleconverter 300mm. Dengan tambahan aksesori ini, ia meningkatkan lagi kebolehan zum yang ada pada peranti ini. Saya suka dengan lensa ini kerana ia dapat beri compression yang membuatkan hasil gambar nampak lebih menarik. Dari segi penghasilan warna, boleh dikatakan masih lagi seperti lensa telefoto yang ada pada peranti ini tanpa perbezaan yang ketara. Satu masalah yang ada pada aksesori ini adalah ia terlalu besar sehinggakan saya rasa tidak praktikal untuk digunakan selalu.




Pihak OPPO juga turut memberikan fokus kepada kualiti video dimana peranti ini menyokong rakaman sehingga 8K 30FPS dan 4K 120FPS. Untuk pengguna professional ciri video 10 Bit LOG turut disediakan untuk memberikan lebih kebebasan untuk kreativiti yang luas.
Bateri Dan Pengecasan
Kapasiti bateri yang terdapat dalam tubuh OPPO Find X9 Ultra ini adalah sebesar 7050 mAH dengan teknologi Silicon Karbon. Kapasiti bateri ini tidaklah terlalu mengejutkan kerana dari siri Find X9 sebelum ini juga OPPO telah memberikan kapasiti yang besar namun sedikit berbeza adalah dari segi pengecasannya dimana ia menyokong pengecasan pantas 100W SUPERVOOC secara berwayar manakala 50W secara nirwayar.

Dari segi ketahanan bateri, anda sudah tidak perlu risau kerana peranti ini memang mampu bertahan seharian tanpa masalah. Dengan penggunaan berat seperti mengambil gambar dan video yang banyak dalam sehari, ia masih lagi dapat memberikan SOT sekitar 9 jam yang bagi saya cukup menakjubkan. Untuk mengecas semula peranti juga tidak memakan masa yang lama kerana bawah 40 minit ia sudah penuh dari 30% baki bateri.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x OPPO Find X9 Ultra
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C
- 1 x Pengecas USB-A 100W SUPERVOOC
- 1 x Kerangka
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.

Perbandingan
| Oppo Find X9 Ultra | Vivo X300 Ultra | Xiaomi 17 Ultra |
| 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 3600 nit | 6.82″ LTPO AMOLED, 144Hz, Dolby Vision, 4500 nit | 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit |
| Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Adreno 840 | Adreno 840 | Adreno 840 |
| 12/16 GB LPDDR5X | 16 GB LPDRR5X | 16 GB LPDRR5X |
| 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 200 MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.2, OIS (Telefoto 3X) 50 MP f/3.5, OIS (Telefoto 10X) Kamera Hasselblad | Kamera Utama 200 MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 50 MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200 MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.7X) Lensa Zeiss | Kamera Utama 50 MP, f/1.67, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) 200 MP, f/2.39-f/2.96, OIS (Telefoto 3.2-4.3X) Lensa Leica |
| Kamera Hadapan 50MP f/2.4 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.5 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.2 |
| IP69 | IP69 | IP68 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 7050 mAh SiC Berwayar 90W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W | 6600 mAh SiC Berwayar 100W Nirwayar 40W Nirwayar Berbalik 10W | 6000 mAh SiC Berwayar 90W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W |
| ColorOS 16,Android 16, Kemaskini 5+6 Tahun | OriginOS 16, Android 16 Kemaskini 5+7 Tahun | HyperOS 3, Android 16 Kemaskini 5+6 Tahun |
| Dilancarkan April 2026 | Dilancarkan Mei 2026 | Dilancarkan Februari 2026 |
| RM 6,799 (12/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) | RM 6,799 (16/512GB) RM 7,799 (16/1000GB) | RM5,499 (16GB/512GB) RM5,999 (16GB/1000GB) |
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan untuk ulasan ini, saya dapat rasakan OPPO Find X9 Ultra ini boleh mencabar dan bersaing baik dengan peranti Ultra yang ada dipasaran. Penawaran yang diberikan cukup menarik terutamanya dari segi keupayaan kamera. Boleh dikatakan ini adalah sebuah peranti pintar yang menyamar sebagai kamera.

Sebagai peranti yang terbaik dari OPPO, harga yang ditawarkan untuk peranti ini juga boleh dikatakan bersesuaian dengan kemampuan peranti ini sendiri. Dengan harga permulaan RM6799, saya merasakan ini tawaran yang berbaloi jika anda betul-betul peminat fotografi dan ingin kesemua ciri professional yang ditawarkan oleh OPPO Find X9 Ultra ini.
Pro
- Rekaan Yang Sangat Unik
- Kualiti Skrin Yang Baik.
- Prestasi Kamera Tahap Ultra.
- Ketahanan Bateri Yang Menakjubkan.
- Rekaan Melengkung Premium.
- Prestasi Dalaman Yang Pantas.
- Sokongan kemas kini 5+6 tahun
Kontra
- Agak Cepat Memanas Apabila Mengambil Gambar
- Masih Lagi Terdapat Aplikasi Gendut





