
Bagaimana untuk mengambil gambar swafoto terbaik tetapi menggunakan kamera utama telefon pintar? Insta360 ada jawapannya melalui penawaran produk baharu mereka, Insta360 Snap Selfie Screen.

Ia merupakan sebuah aksesori untuk telefon pintar yang direka khusus bagi meningkatkan cara pengguna merakam swafoto dan video dengan kamera belakang. Aksesori ini hadir dalam dua versi iaitu standard dan versi dengan lampu terbina dalam untuk kawalan pencahayaan tambahan.

Dengan skrin sesentuh sebesar 3.5 inci, pengguna dapat melihat rakaman secara masa nyata sekali gus memastikan bingkai gambar sentiasa tepat. Aksesori ini berfungsi secara pasang dan guna tanpa memerlukan pengecasan malah menyokong rakaman sehingga 4K dengan paparan segera untuk memberikan pengalaman sebenar berkonsepkan apa yang dilihat itulah hasilnya.

Versi dengan lampu terbina ini dibangunkan bersama pakar kecantikan AMIRO yang menawarkan tiga pilihan warna cahaya dan lima tahap kecerahan menjadikannya sesuai digunakan walaupun dalam keadaan kurang pencahayaan. Reka bentuknya turut dilengkapi penutup khusus yang melindungi skrin daripada calar ketika disimpan serta memastikan kabel tersimpan dengan kemas.

Selain itu, ia berfungsi lancar dengan aplikasi kamera pihak ketiga untuk rakaman dan suntingan lebih bebas. Peranti ini juga direka untuk iPhone dan Android dengan sambungan USB-C.

