
IQOO Z11 baru sahaja dilancarkan di China dengan ciri-ciri utama seperti bateri tahan lama, panel berkadar segar semula tinggi dan prestasi keseluruhan yang stabil.

Tarikan utama telefon ini ialah kapasiti baterinya yang besar iaitu 9020mAh dengan teknologi Blue Ocean. Ia menggunakan anod silikon baharu serta sel bateri separa pepejal yang membolehkan peranti ini kekal nipis dengan ketebalan hanya 8.25mm. IQOO turut mengiklankan bahawa telefon mampu bertahan lebih 10 jam untuk penggunaan harian dengan baki bateri melebihi 50%. Jika bateri kehabisan, ia boleh dicas semula melalui sistem pengecasan pantas berwayar 90W.

Peranti ini dijana oleh cip MediaTek Dimensity 8500 bersama Monster Over-Core Engine yang berfungsi untuk menstabilkan kadar bingkai ketika bermain permainan. Selain itu, telefon ini hadir dengan sistem penyejukan cecair 7K Ice Dome VC yang membantu mengekalkan prestasi terbaik meskipun digunakan untuk tempoh yang panjang.


Turut melengkapi peranti ini ialah skrin AMOLED bersaiz 6.83-inci 1.5K dan kadar segar semula 165Hz. Paparan ini menyokong kecerahan puncak sehingga 5,000 nits serta DC-Like Dimming yang direka khusus untuk meningkatkan tindak balas sentuhan ketika bermain permua. Dari segi kamera pula ia hadir dengan sensor utama 50MP bersama OIS serta sensor kedalaman 2MP.


Peranti ini turut dilengkapi dengan OriginOS 6 berasaskan Android 16 serta penarafan kalis air IP68/69. Harga jualan bermula pada RMB 1,499 (~RM 872) untuk versi 8GB RAM dan 256GB storan manakala model 12GB RAM dengan 512GB storan ditawarkan pada RMB 2,199 (~RM 1,281). Setakat artikel ini ditulis, masih tiada maklumat mengenai penawaran rasmi di pasaran Malaysia.


