sarah12/10/2026 - 16:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah bagi memudahkan ahli beragama Islam menunaikan kewajipan zakat tahunan ke atas simpanan persaraan mereka.
Menerusi kemudahan itu, bayaran zakat akan dipotong terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas dividen diisytiharkan, manakala KWSP bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran berkenaan kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kemudahan itu merupakan penambahbaikan kepada Simpanan Shariah dengan menyediakan kaedah lebih mudah untuk ahli menunaikan kewajipan zakat.
“Bagi ahli yang memilih kemudahan ini, KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan kewajipan zakat tahunan.
“Ini membolehkan ahli menumpukan perhatian kepada usaha membina simpanan persaraan mereka. Pada masa yang sama, kemudahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh penawaran Simpanan Shariah dengan memastikan kemudahan yang disediakan selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli,” katanya dalam kenyataan.
KWSP berkata, pengenalan kemudahan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125 yang memutuskan bahawa Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan.
Keputusan itu mengambil kira ciri pemilikan sempurna simpanan berkenaan serta hak pencarum untuk berurusan dengan KWSP melalui akad Wakalah.
Muzakarah turut menetapkan bahawa zakat yang dikenakan ke atas Simpanan Shariah ialah zakat perniagaan dan KWSP boleh menguruskan pembayaran bagi pihak pencarum.
Bagi pengiraan zakat, KWSP akan menggunakan kaedah modal kerja terlaras berdasarkan pengiraan secara kolektif atau *khultah* pada setiap akhir tahun kewangan, iaitu 31 Disember.
Zakat dikenakan pada kadar 2.577%, manakala tanggungan setiap ahli beragama Islam yang memilih kemudahan itu ditentukan secara pro-rata berdasarkan jumlah agihan dividen tahunan Simpanan Shariah.
Jumlah zakat berkenaan kemudiannya akan dipotong daripada dividen tahunan ahli selepas pengisytiharan dividen dibuat.
KWSP menjelaskan bahawa ahli Simpanan Shariah beragama Islam tidak diwajibkan memilih kemudahan tersebut dan boleh terus menunaikan zakat secara individu seperti sebelum ini. Ahli bukan beragama Islam pula tidak tertakluk kepada kewajipan zakat.
Selain itu, simpanan yang telah layak untuk pengeluaran, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan bayaran zakat berasingan di bawah kemudahan berkenaan.
Ahli yang ingin menggunakan kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah boleh membuat pilihan menerusi KWSP i-Akaun (Ahli), Terminal Layan Diri (SST) atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara. - DagangNews.com






