SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyerahkan surat permohonan kembali bersama dengan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu antara pemimpin UMNO yang telah menyerahkan permohonan tersebut selain bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Menurut beliau, beberapa surat permohonan untuk kembali bersama memperkukuhkan Rumah Bangsa diterima daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang pernah digantung atau dipecat.
"Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan.
"Selain Khairy Jamaluddin, ramai lagi pemimpin-pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
"Moga-moga ALLAH memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkongsi menerima kunjungan Khairy Jamaluddin bagi menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
Sebelum ini, Hishammuddin menyatakan kesediaan untuk kembali berjuang bersama UMNO jika penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti itu.
Beliau terharu dan berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.
Hishammuddin digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
