Selepas KJ, Hishammuddin Juga Mahu Kembali Bersama UMNO - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Mantan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein adalah antara pemimpin berprofil tinggi yang telah mengemukakan rayuan untuk kembali ke pangkuan parti.

Mengesahkan perkara tersebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Ahli Parlimen Sembrong itu adalah antara beberapa pemimpin yang mahu kembali bersama parti. 

Menurut beliau, perkembangan terbabit sememangnya amat dinanti.

“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam-malam terakhir Ramadan. 

“Selain Khairy Jamaluddin, ramai lagi pemimpin-pemimpin yang pernah menabur jasa telah menyerahkan surat permohonan untuk kembali bersama memperkuatkan wadah perjuangan Rumah Bangsa ini termasuk Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

“Moga-moga Allah memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan Negara keseluruhannya.

“Alhamdulillah Ya Allah Kami bersyukur atas nikmatMu ini!” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

image is not available
Asyraf Wajdi Dusuki - Gambar fail

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan menerima kunjungan Khairy bagi mengemukakan surat rayuan untuk kembali kepada UMNO.

Hishammuddin sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk kembali berjuang bersama UMNO jika penggantungannya ditarik semula parti berkenaan. 

Beliau turut melahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada Ahmad Zahid, kerana sudi membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang telah dipecat atau digantung keahlian, untuk kembali ke pangkuan UMNO. 

Hishammuddin sebelum ini digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, atau dua penggal Majlis Tertinggi Umno. – Getaran, 16 Mac 2026