INTAN, Huawei Technologies meterai kerjasama strategik pacu transformasi digital sektor awam negara

LocalTechnology
14 May 2025 • 10:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

INTAN, Huawei Technologies meterai kerjasama strategik pacu transformasi digital sektor awam negara

image is not available

14/05/2025 - 10:24

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 14 Mei – Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selaku latihan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), menjalin kerjasama strategik dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dalam usaha mempercepatkan transformasi digital sektor awam negara.

Kerjasama itu bertujuan membina kepimpinan digital dalam kalangan penjawat awam dengan memfokuskan kepada pembangunan kemahiran selaras keperluan semasa persekitaran digital yang pesat berubah.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai, kerjasama itu turut merangkumi pertukaran dua hala termasuk penglibatan pegawai kerajaan sebagai juri dalam pemilihan peserta program Seeds for the Future.

Antara platform utama ialah Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (Digital Leadership Excellence - DLE), Seeds for the Future, dan Huawei ICT Academy.

Pengarah INTAN, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen INTAN dalam melengkapkan penjawat awam dengan pengetahuan dan kemahiran digital bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan negara.

"Kerjasama dengan Huawei ini memperlihatkan kesungguhan kami dalam menyokong transformasi digital sektor awam.

"Kami yakin usaha ini akan membantu membentuk sektor awam yang lebih efisien dan inovatif," katanya dalam satu kenyataan.

Naib Canselor Huawei ASEAN Academy, Oliver Liu berkata, kerjasama itu akan memberi impak luas inovasi digital dalam mengubah kepimpinan, sistem, dan keberkesanan perkhidmatan.

"Dengan gabungan kepakaran teknologi Huawei dan keupayaan latihan INTAN, kami komited membangunkan sektor awam yang celik digital dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya.

Huawei Malaysia akan menyediakan teknologi digital termaju termasuk pengurusan program bakat dan pembangunan kandungan, manakala INTAN akan menggunakan infrastruktur latihan, kepimpinan dasar, dan sokongan logistik bagi memastikan kelancaran kerjasama itu.

Kerjasama itu juga merangkumi inisiatif seperti Seeds for the Future dan Huawei ICT Competition yang akan menggalakkan penyertaan penjawat awam dalam aktiviti berasaskan inovasi dan memberi pengiktirafan kepada rumusan digital cemerlang.

Huawei turut menyokong visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai ekonomi berteknologi tinggi menjelang 2030 menerusi pemerkasaan sektor awam yang lebih digital dan inovatif.

Dengan termeterainya MoU tersebut, INTAN dan Huawei bersedia memacu sektor awam ke arah transformasi digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.- DagangNews.com

standard