APABILA berbicara tentang usaha membina sebuah negara yang hebat, minda kita sering kali terbayang kepada deretan bangunan pencakar langit atau pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Namun, kita sering terlupa bahawa sebuah negara yang gagah tidak dibina di atas batu bata yang kaku semata-mata. Sebaliknya, ia berdiri teguh di atas pasak nilai insan dan manusiawi yang utuh.
Persoalannya, di manakah ‘kilang utama’ yang menghasilkan manusia bernilai ini? Jawapannya sudah tentulah institusi keluarga — sebuah unit paling kecil, namun merupakan asas paling kritikal dalam struktur masyarakat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah menzahirkan titah yang amat mendalam maksudnya: "Integriti tidak lahir secara spontan. Ia tidak terbentuk melalui pelan yang cantik tertulis di atas kertas. Integriti disemai di rumah, disuburkan di sekolah, diperkukuh oleh masyarakat dan diinspirasikan oleh kepimpinan yang boleh diteladani."
Titah ini membawa mesej yang jelas iaitu usaha membina masyarakat yang jujur dan amanah bermula dari rumah. Ibu bapa adalah guru pertama, dan rumah adalah 'sekolah' pertama bagi setiap insan.
Realiti hari ini: Mengapa 'benteng' kita sedang retak?
Sebelum kita terus berusaha melangkah ke pentas dunia sebagai negara bermaruah, kita harus berani melihat cermin realiti domestik kita hari ini. Isu tekanan ekonomi, badai modenisasi, masalah komunikasi dan konflik pasangan rupa-rupanya telah memberi impak yang sangat besar kepada keharmonian rumah tangga sehingga menjejaskan nilai integriti di dalamnya.
Data rasmi menunjukkan ‘lampu merah’ tanda amaran yang membimbangkan, antaranya adalah kerapuhan ikatan perkahwinan. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 60,457 kes perceraian telah direkodkan pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini bermakna, kadar perceraian kasar meningkat kepada 1.8 peratus bagi setiap 1,000 penduduk.
Selain itu, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memaparkan trend keganasan rumah tangga yang membimbangkan. Sehingga Ogos 2025, kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan mencatatkan angka yang tinggi iaitu sebanyak 5,041 kes, berbanding 5,507 kes keseluruhan pada tahun 2023.
Antara punca utama kegagalan ini adalah akibat belenggu kewangan, sikap panas baran, hilangnya rasa percaya dan kepincangan komunikasi. Apabila keharmonian runtuh, berlakulah salah laku integriti dalam rumah tangga seperti amalan berbohong, kecurangan, penderaan fizikal dan emosi, pengabaian tanggungjawab mendidik anak hinggalah kepada tindakan membawa balik nafkah daripada sumber yang haram atau rasuah
MIKe: Formula 'K.E.L.U.A.R.G.A' daripada IIM
Dalam hubungan ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Modul Integriti Keluarga (MIKe) pada 5 November 2025 sempena Bulan Integriti Nasional, yang dirasmikan sendiri oleh Sultan Nazrin Shah.
MIKe bukanlah sekadar lambakan teori di atas kertas. Ia merupakan sebuah panduan praktikal yang mengajar kemahiran sebenar — bagaimana mengurus emosi, berkomunikasi dengan berkesan, dan berkongsi tanggungjawab menerusi formula akronim yang sangat mudah dihayati: K.E.L.U.A.R.G.A.
K - Kasih: Diterjemahkan melalui perhatian dan rasa cinta yang mendalam demi kebahagiaan bersama.
E - Empati: Memahami kesusahan dan perasaan pasangan atau anak-anak dengan tulus tanpa mengharapkan balasan.
L - Luhur: Menjaga maruah diri dan keluarga dengan jati diri yang mulia agar dihormati orang lain.
U - Usaha: Gigih dan tidak mudah menyerah kalah dalam memikul tanggungjawab rumah tangga secara konsisten.
A - Amanah: Menjalankan tugas dengan jujur, tiada rahsia, tiada penipuan dan saling terbuka bercakap benar.
R - Rasional: Menyelesaikan masalah menggunakan akal yang bijak, bukannya mengikut emosi atau amarah.
G - Gigih: Cekal menghadapi ujian hidup termasuk tekanan ekonomi tanpa meruntuhkan prinsip moral diri.
A - Adil: Memberikan layanan dan hak yang saksama kepada semua ahli keluarga tanpa pilih kasih.
**media[3539115]**
Membina insan sebelum melahirkan pekerja
Sistem pendidikan moden hari ini kadangkala terlalu fokus untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir demi memenuhi pasaran industri. Kita mahu anak-anak mendapat keputusan cemerlang - menjadi doktor, jurutera atau peguam. Namun, pakej kejayaan itu tidak akan lengkap tanpa pembentukan roh kemanusiaan.
Di sinilah peranan keluarga untuk meniupkan nilai manusiawi tersebut:
• Kecerdasan Emosi (EQ) & Ihsan: Melalui kasih sayang dan empati di rumah, anak-anak membesar menjadi individu yang tidak mementingkan diri sendiri serta mempunyai sifat ihsan untuk membantu masyarakat sekitar.
• Kekuatan Jati Diri: Anak-anak yang dididik dengan nilai 'Luhur' dan 'Amanah' akan mempunyai 'tulang belakang' moral yang kuat. Apabila dewasa, mereka tidak mudah goyah dengan sogokan wang ringgit atau pangkat, kerana maruah diri mereka telah dipahat kemas sejak kecil.
Jika di rumah mereka diajar untuk menghormati barang kepunyaan adik-beradik yang lain, apabila besar kelak, mereka tidak akan mudah mengambil hak rakyat atau harta negara.
Kesan domino: Dari meja makan ke pentas dunia
Apa yang berlaku di dalam rumah tidak akan pernah kekal di dalam rumah sahaja; ia mempunyai kesan domino yang akan melimpah keluar ke dalam masyarakat dan seterusnya kepada negara.
Sebuah negara bangsa yang bermaruah bukanlah negara yang ditakuti kerana kekuatan tenteranya, tetapi dihormati kerana keluhuran budi, ketelusan tadbir urus, dan keadilan sosialnya. Ia adalah sebuah negara yang bebas daripada rantaian rasuah di mana pemimpinnya amanah dan rakyatnya saling melindungi.
Cabaran alaf baharu: Tiga langkah segera
Kita tidak boleh menafikan cabaran era digital. Gajet kini seolah-olah menjadi 'ibu bapa ganti' yang mencorakkan pemikiran generasi muda. Oleh itu, pelaksanaan modul seperti MIKe oleh IIM adalah langkah yang sangat tepat pada masanya. Sebagai ibu bapa dan ahli keluarga, kita perlu bertindak segera melalui tiga langkah ini:
1. Kembali Ke Meja Makan: Hidupkan semula budaya bersembang, makan bersama, dan mendengar luahan anak-anak secara bersemuka tanpa gangguan gajet.
2. Menjadi Suri Teladan (role model): Anak-anak adalah peniru yang hebat. Mereka mungkin tidak mendengar apa yang kita cakap, tetapi mereka sentiasa melihat dan meniru apa yang kita buat.
3. Saling Menegur dengan Kasih Sayang: Wujudkan ketelusan untuk menegur salah laku moral, sekecil-kecil perkara seperti budaya menipu dalam peperiksaan sehinggalah isu sumber pendapatan yang meragukan.
Membina sebuah negara bangsa yang bermaruah bukanlah tanggungjawab eksklusif pihak kerajaan sahaja. Ia adalah tanggungjawab kolektif yang bermula dari setiap pintu rumah di seluruh pelosok tanah air.
Negara yang bermaruah bermula daripada keluarga yang berintegriti. Setiap kali kita mendidik anak kita menjadi seorang yang jujur, setiap kali kita menunjukkan rasa hormat kepada pasangan, dan setiap kali kita menolak ketidakadilan di dalam rumah - kita sebenarnya sedang meletakkan pasak yang kukuh untuk membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang dan bermaruah.
Jaga keluarga kita, maka kita sedang menjaga masa depan negara kita.
*Datuk Seri Noridah Abdul Rahim ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia






