Integriti perlu berakar dalam jiwa, bukan sekadar ikrar

Opinion
12 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Integriti perlu berakar dalam jiwa, bukan sekadar ikrar
Warga UPSI bergambar kenangan di hadapan Bangunan Suluh Budiman pada Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi November 2026 sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Ibu Kandung Suluh Budiman di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Photo credit: UPSI

TANJONG MALIM – Integriti perlu berakar dalam jiwa dan diterjemahkan melalui amalan ihsan, amanah serta keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukannya sekadar dilafazkan melalui ikrar atau dijadikan mekanisme untuk menghukum kesalahan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penghayatan integriti sebenar menuntut setiap warga universiti memahami keadaan orang lain, mempermudah urusan rakan sekerja serta memastikan setiap individu mendapat hak sewajarnya tanpa mengira jawatan, pangkat atau kedudukan.

Beliau berkata pendekatan itu juga perlu mengambil kira faktor yang mendorong seseorang melakukan kesilapan, termasuk kekangan kemudahan, beban tugas dan keperluan latihan, sebelum sebarang tindakan diambil.

“Integriti bagi saya adalah ihsan, amanah yang Allah tetapkan kepada kita. Integriti ialah apabila kita berasa bersalah apabila melakukan kesilapan dan berusaha memperbaikinya.

“Ia juga bermaksud kita mempermudah urusan orang lain, bukan sekadar menjaga skop tugas sendiri, tetapi turut membantu dan memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakan sekerja,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi November 2026 sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Ibu Kandung Suluh Budiman di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada Rabu.

Md Amin berkata integriti tidak seharusnya dilaksanakan sekadar melalui lafaz ikrar atau pematuhan prosedur, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada jiwa, akhlak dan budaya kerja setiap warga universiti.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap warga mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjaga kebajikan organisasi dan rakan sekerja, selain mengamalkan sikap saling membantu tanpa terlalu mementingkan kepentingan diri.

Menurutnya, kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada pencapaian individu, tetapi turut dipengaruhi keupayaan setiap warga menghayati amanah dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Dalam pada itu, beliau berkata penghayatan nilai integriti dan semangat perjuangan perlu terus menjadi asas kepada kecemerlangan UPSI yang kini genap berusia 104 tahun.

Beliau berkata perjalanan universiti itu daripada Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sebelum dinaik taraf sebagai universiti pada 1997 merupakan legasi penting yang perlu terus dihayati seluruh warga.

“Kita perlu menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang menyaksikan jatuh bangun universiti ini sehingga menjadi sebuah institusi yang disegani, dicontohi dan menjadi rujukan universiti lain,” katanya.

Perhimpunan itu turut menyaksikan Majlis Peluncuran Gerbang Budaya @ IPM, inisiatif UPSI menerusi Institut Peradaban Melayu (IPM) yang menyatukan tiga ruang utama, iaitu Dataran Budaya, Laman Warisan dan Galeri Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim (SKTM) sebagai wadah pemeliharaan, penghayatan serta pemasyhuran warisan budaya dan sejarah pendidikan.

Selain itu, MyCampus Bus Tracker turut diluncurkan sebagai inisiatif transformasi digital UPSI bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan kampus menerusi teknologi pintar yang cekap, selamat, telus dan mesra pengguna.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved