MELAKA: Satu mekanisme perundangan perlu diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan separuh lagi melalui tahanan rumah yang tertakluk kepada peraturan adil, telus serta terpakai kepada semua.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang tidak boleh dikompromi atas faktor kedudukan, pengaruh politik atau hubungan kekeluargaan.
Beliau berkata, gaji sebagai menteri sebanyak RM11,900 sebulan akan diserahkan kepada pertumbuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang sehingga pembubaran Parlimen penggal ini.
“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat.
“Sehubungan itu, saya menyeru NGO, terutamanya NGO seperti Bersih, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai tanda komitmen terhadap perjuangan ini, saya akan menyerahkan sepenuhnya gaji saya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini, bagi membantu membiayai usaha badan-badan NGO yang akan menggerakkan perjuangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Semarak Tani bersama Nelayan Melaka di sini hari ini.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pendiriannya itu bukan berpunca daripada sebarang pertikaian peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau keluarganya, sebaliknya berasaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Malaysia mesti kekal sebagai sebuah negara yang menyayangi keadilan tanpa diskriminasi, tanpa keistimewaan terpilih dan tanpa sebarang bentuk layanan dua darjat.
“Undang-undang mesti adil kepada semua, Perlembagaan mesti dipertahan untuk semua, keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu.
“Inilah asas perjuangan kita demi memelihara Perlembagaan Persekutuan, memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara dan menjamin keharmonian Malaysia,” katanya. – UTUSAN
The post Mat Sabu serah gaji menteri RM11,900, gerakkan NGO kesaksamaan undang-undang appeared first on Utusan Malaysia.





