Integriti, perpaduan dan negara bangsa: Membina kepercayaan, menyatukan masa depan

LocalPolitics
12 Nov 2026 • 2:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Integriti, perpaduan dan negara bangsa: Membina kepercayaan, menyatukan masa depan

INTEGRITI bukan hanya menentukan mutu pentadbiran. Nilai ini turut membentuk hubungan antara rakyat dengan negara, mempengaruhi cara perbezaan diraikan dan menentukan sama ada setiap warga berasa dirinya sebahagian daripada sebuah bangsa yang mempunyai cita-cita bersama.

Malaysia memiliki pelbagai asas untuk membina masyarakat yang bersatu dan sejahtera, antaranya Rukun Negara, Dasar Perpaduan Negara (DPN), Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) serta dasar pembangunan negara. Setiap kerangka membawa mandat dan pendekatan tersendiri. Namun, kekuatan agenda ini bergantung pada sejauh mana pelaksanaan saling menyokong, bukan bergerak sebagai usaha yang terasing.

Pembinaan negara bangsa merangkumi penyatuan penduduk di bawah satu kewarganegaraan, ia menuntut identiti nasional, kesetiaan dan rasa tanggungjawab bersama yang berasaskan keyakinan bahawa setiap warga mempunyai tempat dalam negara ini. Dalam masyarakat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, kebersamaan tidak boleh dibina melalui keseragaman, sebaliknya perlu tumbuh daripada penerimaan terhadap kepelbagaian dan pengalaman hidup yang adil.

Dalam konteks ini, integriti dan perpaduan tidak boleh dilihat sebagai dua agenda yang terpisah. Integriti membina kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan institusi negara, manakala kepercayaan yang disokong oleh keadilan membuka ruang kepada hubungan masyarakat yang lebih erat. Oleh itu, kekuatan pembinaan negara bangsa bukan hanya bergantung pada dasar yang digubal, tetapi juga pada sejauh mana rakyat merasai bahawa mereka dilayan secara saksama dan mempunyai kepentingan dalam masa depan yang sama.

INTEGRITI DAN PERPADUAN: ASAS KEPADA RASA KEBERSAMAAN

NIES dan DPN mempunyai titik temu yang penting meskipun tumpuan masing-masing tidak serupa. NIES memberi penekanan kepada pembentukan nilai integriti, pengukuhan institusi dan amalan tadbir urus yang beretika. DPN pula menyediakan hala tuju untuk memperkukuh patriotisme, identiti nasional dan ekosistem perpaduan. Apabila kedua-duanya diterjemahkan secara saling melengkapi, usaha membina individu yang beretika dapat berjalan seiring dengan usaha membina masyarakat yang saling menghormati.

Hubungan antara kedua-dua agenda ini dapat dilihat dalam kehidupan seharian. Keyakinan rakyat terhadap institusi berkembang apabila keputusan dibuat secara telus, kuasa digunakan dengan bertanggungjawab dan hak setiap warga dilindungi. Justeru, perpaduan bukan sekadar hasil program kemasyarakatan, tetapi turut bergantung pada mutu hubungan rakyat dengan institusi negara.

Atas sebab itu, integriti perlu dilihat lebih luas daripada pematuhan prosedur atau usaha membanteras rasuah. Ia merangkumi kesediaan menggunakan kuasa demi kepentingan awam, membuat pertimbangan tanpa prasangka dan memastikan keputusan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi. Amalan sedemikian membantu membina persekitaran yang membolehkan rakyat berbeza latar belakang berasa dihargai sebagai warganegara yang sama.

PERPADUAN TIDAK TERBINA MELALUI SLOGAN

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara menyediakan asas penting untuk kehidupan bersama dalam sebuah negara majmuk. Namun, penghayatan terhadap prinsip tersebut perlu hadir dalam tindakan, bukan sekadar disebut dalam majlis rasmi atau diulang dalam kempen. Maknanya terserlah apabila hak dihormati, tanggungjawab dilaksanakan dan perbezaan ditangani melalui saluran yang beradab serta berlandaskan undang-undang.

Kesepaduan sosial juga tidak bermaksud semua orang mesti berfikir atau menjalani kehidupan dengan cara yang sama. Yang diperlukan adalah kesediaan untuk memahami pengalaman kelompok lain, menghormati ruang budaya dan kepercayaan yang berbeza, serta mencari titik persamaan sebagai rakyat Malaysia. Ukuran perpaduan yang lebih bermakna dapat dilihat pada mutu interaksi, kesediaan bekerjasama dan keupayaan menyelesaikan perbezaan tanpa menjejaskan keharmonian.

Dalam memahami realiti hubungan masyarakat, perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan perlu dilihat sebagai tiga perkara yang saling berkait tetapi berbeza. Perpaduan adalah matlamat yang ingin dicapai, kesepaduan menggambarkan keadaan masyarakat yang aman dan stabil meskipun masih wujud perbezaan serta jurang, manakala penyatupaduan ialah usaha berterusan untuk mengurus perbezaan dan merapatkan jurang tersebut. Oleh itu, keadaan masyarakat yang aman tidak semestinya bermakna perpaduan telah dicapai sepenuhnya. Kesepaduan yang sedia terbina perlu terus dipelihara, manakala proses penyatupaduan hendaklah dilaksanakan secara berterusan bagi mendekatkan masyarakat kepada matlamat perpaduan.

Rasa kebersamaan sukar berkembang jika sebahagian masyarakat merasakan peluang dan layanan tidak terbuka kepada mereka. Persepsi bahawa akses kepada pekerjaan, bantuan atau kemudahan awam ditentukan oleh hubungan dan pengaruh boleh menimbulkan rasa kecewa. Jika dibiarkan, pengalaman sedemikian mengukuhkan sempadan kelompok dan melemahkan keyakinan terhadap keadilan bersama.

Justeru, proses membuat keputusan dan pengagihan peluang perlu berasaskan kriteria yang jelas serta boleh dipertanggungjawabkan. Kepentingan setiap komuniti wajar dipertimbangkan, tetapi pertimbangan itu hendaklah dibuat secara telus dan dalam kerangka Perlembagaan. Identiti kaum, agama atau wilayah tidak seharusnya dieksploitasi untuk menutup kelemahan pengurusan atau membenarkan layanan yang tidak saksama.

IPNAS DAN DEFISIT SOSIAL: MEMBACA CABARAN PERPADUAN SECARA LEBIH MENYELURUH

Perbincangan tentang perpaduan perlu turut mengambil kira Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), instrumen yang dibangunkan untuk mengukur tahap kesepaduan sosial dan menilai faktor yang mempengaruhinya. IPNas meluaskan pemahaman bahawa perpaduan bukan hanya ditentukan oleh hubungan antara etnik, tetapi turut dibentuk oleh tadbir urus dan pembangunan, etos nasional, tahap keetnikan serta hubungan sosial rentas etnik.

Dapatan IPNas menunjukkan perkembangan yang positif. Skor nasional meningkat daripada 0.567 pada 2018 kepada 0.629 pada 2022 dan 0.701 pada 2025, sekali gus mencapai sasaran 0.7 yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas. Namun, skor 0.701 masih berada dalam julat tahap sederhana berdasarkan skala pengukuran IPNas. Peningkatan ini wajar dihargai, tetapi tidak harus ditafsirkan bahawa semua cabaran perpaduan telah selesai. Skor nasional juga perlu dibaca bersama variasi antara negeri dan isu yang masih memerlukan perhatian.

DPN dan kerangka IPNas mengenal pasti sepuluh kategori defisit sosial, iaitu etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik dan federalisme, ruang bandar-desa serta media. Kategori ini menggambarkan jurang dan isu yang boleh mempengaruhi hubungan masyarakat jika tidak diurus dengan cermat. Defisit sosial tidak semestinya bermaksud konflik sedang berlaku; sebaliknya, ia membantu mengenal pasti ruang yang memerlukan perhatian, dialog dan tindakan dasar yang bersesuaian.

Dalam dapatan IPNas 2025, lima faktor yang diberi perhatian pada peringkat nasional adalah etnisiti, media, politik dan federalisme, agama serta kelas sosial. Keutamaan ini mengingatkan bahawa cabaran perpaduan mempunyai dimensi yang pelbagai. Perbezaan identiti boleh menjadi kekuatan apabila dihormati, tetapi boleh menjadi garis pemisah apabila dimanipulasi. Begitu juga, penyebaran maklumat yang tidak bertanggungjawab, ketegangan politik dan jurang sosioekonomi boleh menjejaskan rasa saling percaya.

Di sinilah integriti mempunyai hubungan langsung dengan agenda perpaduan. Dasar yang dirangka dengan baik perlu dilaksanakan secara adil; bantuan dan kemudahan mesti sampai kepada kumpulan sasaran; manakala keputusan yang menyentuh kepentingan masyarakat perlu dibuat secara telus dan mengambil kira keadaan setempat. Jika rakyat merasakan layanan atau peluang ditentukan oleh identiti, hubungan atau pengaruh, defisit sosial boleh menjadi lebih sukar diurus. Sebaliknya, tadbir urus yang saksama dan pembangunan yang inklusif membantu membina keyakinan bahawa setiap warga mempunyai tempat dalam negara.

Oleh itu, usaha menangani defisit sosial tidak boleh diserahkan kepada program perpaduan semata-mata. Ia memerlukan dasar pendidikan yang mengambil kira kepelbagaian, ruang interaksi yang bermakna, komunikasi awam yang bertanggungjawab, pembangunan wilayah yang seimbang serta pengurusan perbezaan secara berhemah. Integriti memastikan usaha tersebut dilaksanakan dengan amanah dan tidak menyisihkan mana-mana kelompok.

KEPIMPINAN YANG MENYATUKAN MELALUI TELADAN

Pemimpin mempunyai pengaruh besar dalam membentuk suasana hubungan antara masyarakat. Bahasa yang digunakan, keutamaan yang ditetapkan dan cara sesuatu isu ditangani boleh meredakan ketegangan atau sebaliknya memperbesarnya. Oleh itu, kepimpinan berintegriti bukan sahaja berkaitan kecekapan mengurus organisasi, tetapi juga kebijaksanaan memelihara kepercayaan dan mengutamakan kepentingan bersama.

Prinsip yang sama perlu terpakai kepada semua pemegang amanah awam. Keputusan hendaklah dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat, bukannya dorongan untuk menguntungkan kelompok tertentu. Ketelusan dalam proses, pengurusan konflik kepentingan dan kesediaan menjelaskan sesuatu keputusan membantu mengukuhkan keyakinan bahawa kuasa dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Institusi pengawasan dan penguatkuasaan pula perlu menjalankan fungsi masing-masing secara profesional, tanpa tekanan yang menjejaskan kebebasan pertimbangan. Pada masa yang sama, setiap institusi mesti tertakluk pada semak dan imbang yang munasabah. Keseimbangan ini penting supaya kuasa dapat digunakan bagi memperbaiki keadaan tanpa terlepas daripada pertanggungjawaban.

Teladan kepimpinan turut terlihat ketika berhadapan isu yang sensitif. Keupayaan mendengar pandangan berbeza, menjelaskan dasar secara terbuka dan bertindak secara konsisten memberi isyarat bahawa semua warga mempunyai tempat dalam negara. Sebaliknya, sikap memilih pihak atau menggunakan perbezaan sebagai alat persaingan boleh menjejaskan usaha membina identiti nasional.

KEADILAN PEMBANGUNAN: MEMASTIKAN MANFAAT DIRASAI BERSAMA

Rasa menjadi sebahagian daripada negara turut dipengaruhi oleh peluang untuk menikmati pembangunan. Jurang kemudahan, kemiskinan yang berpanjangan dan akses yang tidak seimbang kepada pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi boleh menyebabkan sesetengah komuniti berasa jauh daripada arus kemajuan.

Pengurusan sumber awam yang cekap dan beramanah mempunyai kesan langsung terhadap kehidupan masyarakat. Peruntukan yang tidak sampai kepada kumpulan sasaran, projek yang tidak memenuhi keperluan setempat atau bantuan yang tersasar akhirnya menjejaskan mereka yang sepatutnya mendapat manfaat. Dalam konteks ini, integriti bukan isu pentadbiran semata-mata; ia berkait dengan tanggungjawab memastikan pembangunan benar-benar memperbaiki kehidupan rakyat.

Keperluan ini jelas dalam pembangunan wilayah, termasuk kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta komuniti luar bandar di Semenanjung. Perancangan perlu mengambil kira keadaan geografi, kemudahan asas dan keperluan penduduk setempat. Kejayaan tidak wajar hanya dilihat pada jumlah peruntukan atau projek yang diumumkan, tetapi pada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat.

Pembangunan yang inklusif membantu membina rasa bahawa setiap wilayah dan komuniti mempunyai tempat dalam hala tuju negara. Apabila manfaat kemajuan dapat dinikmati dengan lebih seimbang, asas kepada kepercayaan dan kesetiaan bersama juga menjadi lebih kukuh.

MENYELARASKAN USAHA, BUKAN SEKADAR MENGHIMPUNKAN PROGRAM

Hubungan antara NIES dengan DPN perlu diterjemahkan melalui penyelarasan yang nyata. Kementerian, agensi dan institusi lazimnya mempunyai tanggungjawab serta mekanisme pelaksanaan masing-masing. Jika setiap pihak hanya menumpukan sasaran sektoral, peluang untuk menghasilkan kesan yang lebih luas terhadap masyarakat mungkin terlepas.

Misalnya, kegiatan integriti di peringkat komuniti boleh dirancang bersama inisiatif yang menggalakkan interaksi antara kelompok masyarakat. Pendidikan Rukun Negara pula boleh dikaitkan dengan amalan tanggungjawab sivik, hormat-menghormati dan kejujuran dalam kehidupan seharian. Pendekatan seumpama ini menjadikan nilai yang dipelajari lebih dekat dengan pengalaman masyarakat.

Penyelarasan yang berkesan memerlukan matlamat bersama, pembahagian peranan yang jelas dan saluran kerjasama yang berterusan. Perkongsian maklumat serta penilaian bersama juga penting supaya pertindihan dapat dikurangkan dan jurang pelaksanaan dikenal pasti lebih awal. Kerjasama tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai.

Pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation) perlu mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak. Kerajaan menyediakan dasar dan persekitaran yang membolehkan, manakala sektor swasta, institusi pendidikan, masyarakat sivil, keluarga dan komuniti memainkan peranan masing-masing. Perpaduan tidak boleh dipikul oleh satu institusi sahaja kerana ia terbentuk melalui hubungan yang berlaku di seluruh ruang kehidupan.

MENILAI KEKUATAN HUBUNGAN, BUKAN HANYA AKTIVITI

Penilaian terhadap agenda integriti dan perpaduan perlu melihat perubahan yang berlaku dalam masyarakat. IPNas boleh menjadi salah satu rujukan penting kerana mengukur tahap kesepaduan sosial dan faktor yang mempengaruhinya. Namun, skor indeks tidak wajar dibaca secara terasing atau dianggap sebagai gambaran menyeluruh bagi setiap komuniti. Ia perlu dilengkapi dengan maklum balas setempat dan penelitian terhadap pengalaman sebenar rakyat.

Bilangan program, penyertaan peserta dan bahan penerangan pula hanya memberikan gambaran tentang jangkauan sesuatu usaha. Antara perkara yang wajar diperhatikan adalah sama ada masyarakat semakin terbuka untuk bekerjasama merentas latar belakang, sama ada aduan berkaitan layanan tidak adil ditangani dengan baik dan sama ada penduduk di kawasan yang kurang mendapat kemudahan melihat peningkatan yang nyata. Maklum balas komuniti perlu diberi ruang dalam penilaian supaya gambaran pencapaian tidak hanya bergantung pada laporan pelaksana.

> Penilaian juga perlu mengambil kira perbezaan keadaan antara wilayah dan kelompok masyarakat. Satu pendekatan yang berjaya di sesuatu tempat belum tentu sesuai dilaksanakan dengan cara yang sama di tempat lain. Mendengar pengalaman setempat membolehkan dasar disesuaikan tanpa mengabaikan prinsip kebangsaan yang menjadi pegangan bersama.

NEGARA BANGSA TERBINA MELALUI PENGALAMAN BERSAMA

Pada akhirnya, negara bangsa tidak terbentuk melalui dokumen dasar semata-mata. Ia berkembang melalui pengalaman rakyat ketika menggunakan perkhidmatan awam, menyertai kehidupan komuniti, berinteraksi dengan jiran dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara. Pengalaman yang adil dan saling menghormati menjadikan gagasan kebangsaan sesuatu yang dapat dirasai, bukan sekadar disebut.

Setiap warga perlu mempunyai ruang untuk menyumbang dan merasakan suaranya diberi perhatian. Perbezaan pandangan hendaklah diraikan melalui perbincangan yang matang, sementara hak dan tanggungjawab semua pihak dipelihara. Dalam suasana sedemikian, identiti nasional tidak memadamkan kepelbagaian, sebaliknya menyatukannya di bawah cita-cita bersama.

Malaysia sudah mempunyai pelbagai kerangka untuk menggerakkan usaha ini. Tumpuan kini perlu diberikan kepada bagaimana dasar-dasar tersebut saling menyokong dalam pelaksanaan dan bagaimana hasilnya diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Kejayaan tidak hanya terletak pada keselarasan dokumen, tetapi pada kesan yang dirasai di sekolah, tempat kerja, kejiranan dan setiap ruang perkhidmatan.

Kita tidak membina negara bangsa dengan meminta rakyat bersatu tanpa menyediakan asas yang meyakinkan untuk mereka berbuat demikian. Rasa kebersamaan tumbuh apabila keadilan dapat dialami, kepelbagaian dihormati, pembangunan dikongsi dan institusi menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.

NIES dan DPN mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam perjalanan ini. Namun, keberhasilan kedua-duanya akhirnya tidak harus diukur hanya melalui dasar yang digubal atau program yang dilaksanakan, tetapi melalui sejauh mana rakyat benar-benar merasai perubahan dalam kehidupan mereka.

Akhirnya, kekuatan sesebuah negara bangsa bukan terletak pada keupayaannya menuntut rakyat untuk bersatu, tetapi pada keupayaannya membina kepercayaan dan keadilan sehingga setiap warga berasa dirinya sebahagian daripada negara ini, mempunyai rasa kepunyaan terhadapnya dan bersedia mempertahankan masa depannya.

PENULIS ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia.

The post Integriti, perpaduan dan negara bangsa: Membina kepercayaan, menyatukan masa depan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved