FAM kena berubah, perlu ‘menangi’ jiwa peminat

LocalFootball
28 Oct 2026 • 8:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: FAM kena berubah, perlu ‘menangi’ jiwa peminat

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh terus bermimpi untuk melihat bola sepak negara kembali disegani jika masih gagal memenangi hati peminat yang sememangnya layak dilabel sebagai ‘tulang belakang’.

Dalam keadaan kepercayaan terhadap badan induk itu perlu dipulihkan, usaha membina semula bola sepak Malaysia harus bermula dengan sesuatu yang lebih asas, bukan sekadar memberikan kemenangan.

Secara dasarnya, peminat adalah sebahagian daripada ekosistem bola sepak yang mampu menentukan nilai komersial untuk mempengaruhi penaja ataupun rakan strategik.

FAM perlu memahami bahawa usaha ‘membeli jiwa’ peminat bukan bermaksud hanya menerusi kemenangan Harimau Malaya, memancing sokongan melalui janji manis atau kempen bermusim.

Sebaliknya, ia menuntut perubahan sikap, keterbukaan dalam pengurusan, komunikasi yang berkesan serta kesungguhan membuktikan setiap
keputusan dibuat demi kepentingan negara.

FAM perlu berani mengubah pendekatan dengan meletakkan peminat sebagai antara pihak berkepentingan dalam setiap perancangan kerana keyakinan tidak boleh dipulihkan hanya melalui sidang media, kenyataan rasmi atau pelancaran pelan strategik.

Apabila adanya imej yang baik, hala tuju jelas dan hubungan kukuh dengan penyokong, nilai komersialnya berpotensi meningkat, sekali gus membuka peluang kepada FAM untuk membina kerjasama lebih luas dengan syarikat korporat serta penaja.

Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran FAM, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, usaha untuk mengangkat bola sepak negara memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk peminat.

“Fokus utama saya ialah memastikan imej, jenama dan komunikasi FAM ini sentiasa dekat di hati peminat. Kita mahu FAM ini bukan sekadar dikenali, tetapi juga dipercayai, dihormati dan sentiasa mempunyai hubungan dengan penyokong dan peminat.

“Kita mahu hubungan baik antara FAM dengan penyokong, sebab itu kita akan adakan perjumpaan, kita adakan program supaya mereka lebih faham tugas kita. Kita akan bina hubungan baik yang lebih erat antara FAM dan penyokong,” katanya.

Lebih penting, FAM perlu membuktikan bahawa kritikan tidak dianggap sebagai ancaman kerana dalam era maklumat bergerak pantas, kegagalan menjelaskan sesuatu isu secara telus akan membuka ruang kepada spekulasi dan salah faham hingga akhirnya menjejaskan imej bola sepak.

Sebagai muka baharu dalam pucuk pimpinan sekarang, Syed Mahadi menjelaskan antara idea baharu yang dibawa ke dalam FAM adalah untuk membasmi budaya bekerja secara ‘in silo’ bagi memacu kelangsungan perkembangan bola sepak negara.

“Saya percaya apabila kita mengetepikan pendekatan bekerja secara berasingan ini dan kita mula dengan satu budaya baharu, insya-Allah kita akan mengangkat martabat bola sepak ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Pendekatan berasaskan hasil ini penting kerana pada akhirnya, FAM perlu menerima hakikat bahawa kepercayaan tidak boleh dituntut atau dibeli, sebaliknya mesti diperoleh melalui tindakan.

Kesimpulannya, memenangi hati peminat bukan hanya sekadar slogan atau janji, tetapi langkah awal yang wajib dilunaskan dan diterjemahkan menerusi tindakan.

The post FAM kena berubah, perlu ‘menangi’ jiwa peminat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved