Pada pertengahan tahun ini, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan grafik terbaru mereka, Xe2 “Battlemage” yang digunakan pada cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V Lunar Lake baru-baru ini, melalui cip pemprosesan Intel Arc 140V.
Terkini, terdapat ura-ura bahawa Intel dijangka akan memperkenalkan komponen SoC berdasarkan cip grafik Intel Arc Xe 2 Battlemage ini didalam rekabentuk kad grafik kelas desktop seawal bulan hadapan.
Intel battlemage gpu Soon pic.twitter.com/HBS4isMkOZ
Perkara ini diperlihatkan oleh Tomasz Gawronski di X/Twitter dan Gazlog yang mana mereka memaparkan imej promosi berkenaan produk tersebut baru-baru ini.

Perkara ini dilihat agak menarik kerana setakat ini, kita tahu bahawa AMD dan NVIDIA dijangka akan memperlihatkan sejumlah produk baru di CES 2025 pada bulan Januari kelak, termasuklah SoC AMD Ryzen Z2 Extreme dan teknologi grafik AMD RDNA4, manakala NVIDIA akan memperkenalkan siri kad grafik GeForce RTX 5000 mereka.
Intel mungkin memilih Disember 2024 sebagai tarikh pengumuman produk baru ini mungkin sebagai satu cara untuk memastikan produk mereka mendapat sambutan media sebanyak yang mungkin, dan supaya produk mereka tidak bertindih dengan pengumuman daripada syarikat-syarikat teknologi yang lain sewaktu acara CES 2025 kelak.
Intel juga nampaknya mengesahkan bahawa mereka juga berniat untuk memperkenalkan satu lagi siri cip pemprosesan grafik yang dinamakan Celestial selepas Battlemage. Perkara ini sudahpun hadir dalam pelan pengeluaran teknologi grafik Intel beberapa tahun lalu, jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Intel dijangka akan cuba untuk memasuki pasaran grafik kelas pertengahan dengan penawaran Battlemage, mungkin untuk komputer-komputer yang mahu memainkan permainan-permainan komputer moden, tetapi tidak mahu memebelanjakan terlalu banyak wang untuknya.
- Tomasz Gawronski, Gazlog
