Intel Membuang Lebih Dari 6000 Lagi Pekerja Di Amerika Syarikat

TechnologyDigital
14 Jul 2025 • 11:45 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada bulan lepas, Intel telah mengesahkan bahawa mereka akan membuang kira-kira 15-20 peratus daripada tenaga kerja global mereka bermula bulan ini. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa mereka akan membuang lebih dari 6000 pekerja secara berperingkat di Amerika Syarikat.

Yang paling teruk terkesan akibat potongan ini ialah kilang mereka di Oregon. Oregon Live telah melaporkan bahawa Intel akan membuang 2392 pekerja di kilang tersebut. Ini cukup sukar kerana pada tahun ini sahaja, Intel telah membuang sekitar 3000 pekerja dari kilang tersebut.

image is not available

Walaupun Intel mengatakan kebanyakan pekerja yang diberhentikan adalah dalam bahagian pengurusan, butiran daripada dokumen yang dihantar kepada kerajaan tempatan Oregon memperlihatkan bahawa kebanyakan daripada jawatan yang dilepaskan adalah bersifat teknikal.

Ini termasuklah juruteknik peralatan modul (325), jurutera pembangunan modul (302), jurutera modul (126), dan jurutera pembangunan integrasi proses (88). Angka tersebut boleh dilihat sebagai hampir separuh daripada jumlah pekerja yang akan dibuang.

Dalam pada itu, Intel juga akan membuang kira-kira 4000 pekerja di keseluruhan pejabat dan kilang-kilang mereka di Arizona, California dan Texas, tetapi butiran tentang pembuangan tersebut tidak diketahui buat masa ini.