Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini mengeluarkan arahan bahawa eksport, pemindahan dan transit cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat akan tertakluk kepada permit perdagangan berkuat kuasa serta-merta.

Syarikat ataupun individu yang ingin melakukan perdagangan cip AI Amerika Syarikat perlu memberikan pihak berkuasa notis 30 hari lebih awal. Ini adalah selari dengan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010). Arahan diberikan selepas berlaku insiden pelayar dengan GPU NVIDIA telah diseludup ke China dari Singapura menerusi Malaysia dengan nilai mencecah $390 juta (~RM 1.7 bilion) pada Januari lalu.
Dengan ini Malaysia tidak lagi membenarkan ia menjadi lokasi halangan eksport dipintas entiti tertentu bagi tujuan yang menyalahi undang-undang antarabangsa. Minggu lalu muncul laporan Malaysia dan Thailand mungkin dikenakan halangan eksport cip AI oleh Amerika Syarikat berikutan insiden cip berjaya diseludup ke negara yang dikenakan halangan eksport.


