Intel Mengesahkan Cip Grafik Xe3P Akan Diperkenalkan Melalui Siri CPU “Nova Lake”

TechnologyDigital
5 Feb 2026 • 4:42 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Intel baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, iaitu Intel Core Ultra 300 Series “Panther Lake” yang akan digunakan untuk menguasakan kebanyakan komputer riba kelas nipis dan ringan mereka dan juga sejumlah komputer-komputer riba gaming mereka.

Satu kelebihan yang diperlihatkan pada siri cip pemprosesan baru ini ialah penggunaan cip pemprosesan grafik Intel Xe3 yang merupakan cip pemprosesan grafik Intel Battlemage yang dikemaskini dan hadir dengan kemampuan gaming dan olahan grafik yang dilihat cukup berkuasa sekali.

Intel dijangka akan melancarkan cip pemprosesan Intel Alder Lake Refresh pada bulan April ini, tetapi tumpuan orang ramai nampaknya lebih ke arah pelancaran siri cip Intel Nova Lake atau Intel Core Ultra Series 400 yang akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini.

image is not available

Terkini, terdapat beberapa laporan yang mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan tersebut akan hadir dengan cip grafik terbina dari siri Intel Xe3P atau lebih dikenali sebagai “Celestial”, model ketiga dalam siri cip pemprosesan Intel.

Perkara ini dilaporkan sebagai sah kerana Intel telah memuat-naik kemaskini perisian pemandu untuk sistem operasi Linux yang telah menyenaraikan tiga blok IP, termasuklah Xe3p_LPG, Xe3p_LPM dan Xe3p_LPD. Ini merujuk kepada “Graphics” untuk kemampuan pemprosesan grafik untuk permainan, “media” untuk olahan media seperti gambar dan video dan “Display” untuk kemampuan memaparkan paparan.

Pemisahan “tugasan” grafik ini bukanlah sesuatu yang baru, dan telah diperkenalkan sejak cip pemprosesan Intel Meteor Lake, dan telah dikemaskini untuk setiap iterasi cip pemprosesan grafik Intel Xe dari tahun ke tahun.

Sama seperti cip Intel Core Ultra 200, hanya model-model terpilih dilihat akan dimuatkan dengan cip pemprosesan grafik ini, dan ia dijangka bahawa model-model tertentu (seperti Intel Core Ultra X9 dan Ultra X7) akan hadir dengan cip grafik ini, dan model-model lain akan dilengkapi dengan pilihan cip grafik yang lama.

Cip Intel Xe3 “Battlemage” yang digunakan dalam siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 dilihat sangat baik untuk tujuan gaming, dan jangkaannya ialah Xe3P yang dihasilkan menggunakan proses teknologi terbaru keluaran intel akan hadir dengan kemampuan memproses grafik yang lebih berkuasa.