Beberapa minggu lalu, Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” yang hadir dengan penawaran cip pemprosesan Intel Xe3 yang terbaru khusus untuk siri cip pemprosesan tersebut.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Intel akan memperkenalkan satu siri cip pemprosesan berasaskan siri Panther Lake yang dinamakan Intel Core Ultra G3 yang akan terdiri daripada dua jenis model, iaitu Intel Core Ultra G3 Extreme dan Intel Core Ultra G3, menyerupai apa yang dilakukan oleh AMD dengan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z2 mereka.
Apa yang diketahui mengenai kedua-dua cip pemprosesan ini ialah mereka akan dilengkapi 14 teras fizikal yang terdiri daripada dua teras Performance, lapan teras Efficiency dan empat teras Low Power Efficiency. Tetapi apa yang lebih menarik ialah cip pemprosesan grafik yang akan dipadankan bersama-sama kedua-dua cip ini.

Intel Core Ultra G3 Extreme akan dilengkapi dengan cip grafik Intel Arc B380 yang menyerupai penawaran pada cip Intel Arc B390 pada cip pemprosesan Intel Core Ultra X9 dan X7, tetapi dengan kelajuan frekuensi yang sedikit lebih rendah.
Untuk model Intel Core Ultra G3 pula, ia akan dimuatkan dengan cip pemprosesan grafik Intel Arc B360, sebuah model cip grafik baru yang hadir dengan 10 teras Intel Xe3, dan dijangka akan menguasakan konsol permainan yang lebih mampu-milik.
Ini merupakan kali pertama Intel memperkenalkan cip pemprosesan khusus untuk konsol permainan mudah-alih, kerana sebelum ini pengeluar seperti MSI hanya akan menggunakan cip Intel Meteor Lake dan Lunar Lake sedia ada untuk konsol MSI Claw mereka.
Dengan ini, ia dijangka bahawa optimasi prestasi dan penggunaan kuasa bateri untuk konsol-konsol permainan yang menggunakan cip pemprosesan ini akan lebih baik lagi. Intel dijangka akan mula memperkenalkan siri cip pemprosesan ini pada suku kedua 2026.

