Pada awal bulan ini, kami telah melaporkan bahawa terdapat kebarangkalian bahawa Intel hanya akan menggunakan proses 18A mereka untuk membina produk-produk untuk diri sendiri, dan proses 14A akan digunakan untuk bersaing dengan proses pengeluaran cip pemprosesan TSMC dan juga Samsung.
Sewaktu mesyuarat dengan pihak berkepentingan pada minggu ini, CEO Intel, Lip-Bu Tan mengatakan bahawa pembangunan dan penggunaan proses 14A Intel mungkin terpaksa dihentikan sekiranya Intel tidak boleh mendapatkan pelanggan untuk menggunakan khidmatnya.
Proses 18A sedia ada, bersama-sama dengan 18A-P yang akan diperkenalkan kelak buat masa ini digunakan untuk menghasilkan bahagian-bahagian untuk cip pemprosesan desktop Intel Nova Lake-S. Malah, ia juga telah dilaporkan bahawa khidmat TSMC telah sekali lagi diminta untuk membantu menghasilkan beberapa komponen untuk cip pemprosesan tersebut.

Fokus Intel sekarang dilihat lebih kepada untuk memastikan bahawa proses 18A boleh menghasilkan cip pemprosesan mereka sendiri pada skala besar. Walaupun begitu, mereka masih mahu memastikan bahawa ada permintaan untuk proses 14A sebelum mereka melaburkan wang kedalam penyelidikan dan pembangunan proses pengilangan semikonduktor tersebut.
Ini dilihat sebagai keputusan yang sangat besar oleh Intel, kerana mereka dilihat sebagai satu-satunya syarikat semikonduktor dari Amerika Syarikat yang mempunyai keupayaan untuk menghasilkan cip pemprosesan mereka sendiri, dan bersaing dengan syarikat-syarikat seperti TSMC dan Samsung.
Jika Intel menghentikan pembangunan proses 14A dan keatas di masa hadapan kerana ketiadaan pelanggan, Intel nampaknya akan perlu menjual bahagian pengeluaran semikonduktor mereka dan dijangka lebih ramai lagi pekerja syarikat tersebut akan kehilangan pekerja dan mereka tidak lagi akan menjadi gergasi pereka dan pengeluar cip semikonduktor dunia.



