Intel Mungkin Meninggalkan Proses 18A Untuk Membangunkan Proses 14A

TechnologyDigital
3 Jul 2025 • 1:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Intel dilaporkan sedang berhadapan dengan satu keputusan yang agak serius, berkaitan dengan teknologi pengilangan cip semikonduktor mereka. Sebelum Pat Gelsinger, mantan CEO syarikat tersebut meninggalkan syarikat, beliau telah memulakan projek 5N4Y yang bertujuan untuk memajukan keupayaan Intel untuk menghasilkan cip pemprosesan menggunakan proses lebih moden secepat mungkin.

Pada tahun ini, Intel sepatutnya memulakan penggunaan proses 18A (1.8nm) untuk komponen-komponen cip pemprosesan mereka, dan untuk menghasilkan cip pemprosesan Panther Lake untuk komputer riba, dan menghasilkan cip pemprosesan pusat data untuk syarikat-syarikat seperti Amazon dan Microsoft.

image is not available

Lip-Bu Tan, pengganti Pat Gelsinger telah melakukan banyak potongan untuk mengekang kerugian besar yang sedang dihadapi oleh Intel. Terkini, beliau dilaporkan mahu melakukan satu lagi langkah yang drastik, iaitu menghentikan pembangunan 18A, dan fokus kepada proses 14A.

Ini bukan untuk mengatakan bahawa Intel akan menutup terus proses 18A, tetapi ia tidak akan digunakan untuk tujuan mengeluarkan cip semikonduktor syarikat lain. Cip pemprosesan Intel Panther Lake dan cip-cip untuk syarikat seperti Amazon dan Microsoft akan diteruskan, tetapi untuk masa yang terdekat ini, Tan nampaknya mahu mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi proses 14A untuk pelanggan-pelanggan akan datang.

Jika anda merasakan bahawa sejarah akan berulang untuk Intel, ia adalah kerana Pat Gelsinger juga telah melakukan perkara yang sama, dimana beliau membuat keputusan untuk menghentikan pembangunan proses 20A, dan beralih terus ke pembangunan teknologi 18A. Keputusan ini menelan belanja beratus juta dolar, dan harapannya ialah proses tersebut akan mengembalikan zaman unggul Intel sebagai pembuat cip semikonduktor.

Sayangnya, sejumlah isu berkenaan jumlah pengeluaran cip semikonduktor dan lain-lain isu telah menyebabkan proses 18A ini tergendala seketika, dan TSMC akan mula menghasilkan cip pemprosesan menggunakan proses N2 (2nm) mereka bermula tahun ini, dan dilihat mempunyai kadar pengeluaran cip pemprosesan yang jauh lebih tinggi, dan lebih cekap berbanding dengan Intel.

Mengeruhkan keadaan untuk Intel, mereka dilihat masih akan menggunakan khidmat proses pengilangan N2 tersebut untuk cip pemprosesan desktop Nova Lake, disamping mengeluarkannya menggunakan proses 14A mereka sendiri.

Buat masa ini, Intel masih tidak memperlihatkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini, yang dijangka akan dibincangkan sewaktu perjumpaan pelabur tidak lama lagi. Isu untuk Intel ialah jika mereka bersetuju untuk melakukan perkara ini, pelaburan berbilion dolar yang dilakukan untuk membangunkan proses 18A akan menjadi kerugian dengan nilai yang besar, dan semua pelaburan dan perbelanjaan tersebut akan perlu dihapus-kira.