
PUCHONG – IOI Properties Group Berhad (IOIPG) memuktamadkan kerjasama dengan Marriott International bagi memperkenalkan hotel The Westin Puchong di IOI Rio City yang dijadualkan beroperasi menjelang Jun 2030, melibatkan pelaburan hampir setengah bilion ringgit.
Pemeteraian perjanjian operasi dan pengurusan hotel antara kedua belah pihak semalam merupakan sebahagian daripada pembangunan induk IOIPG seluas 100 ekar (40 hektar) di Bandar Puteri Puchong.
Pembangunan fasa pertama IOI Rio City itu juga melibatkan pembangunan pusat beli-belah IOI Mall Rio yang terletak bersebelahan hotel tersebut, dengan pelaburan melebihi RM1 bilion.
Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi keseluruhan pembangunan berkenaan dianggarkan berjumlah RM12 bilion.
Ketua Pegawai Operasi, Pelaburan Hartanah IOIPG, Chris Chong berkata, The Westin Puchong bakal menjadi hotel lima bintang berjenama antarabangsa pertama di Puchong.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan bandar itu sebagai destinasi perniagaan dan pelancongan.
“Ketika ini, portfolio hospitaliti dan riadah kami merangkumi sembilan hotel dengan melibatkan sebanyak 3,075 bilik.
“Penambahan The Westin Puchong yang mempunyai 324 bilik dan projek-projek lain dalam perancangan akan meningkatkan kapasiti kami kepada 3,982 bilik menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian perjanjian semalam.
Segmen hospitaliti dan riadah IOIPG mencapai perolehan RM622 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, naik 80.8 peratus berbanding setahun lalu serta menyumbang 20.4 peratus kepada hasil keseluruhan Kumpulan.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik (tidak termasuk China) Marriott International, Andree Susilo berkata, kerjasama itu memperkukuh hubungan jangka panjang antara kedua-dua syarikat selepas kejayaan mengendalikan sembilan hotel secara bersama, dan satu lagi sedang dalam pembangunan.
Katanya, The Westin Puchong akan membawa konsep kesejahteraan jenama itu ke salah satu koridor komersial yang berkembang pesat di negara ini, menawarkan pengalaman berkualiti kepada pelancong perniagaan dan percutian.
Hotel itu dijangka mewujudkan 220 peluang pekerjaan. -KOSMO! ONLINE
The post IOI Properties bina hotel lima bintang di Puchong appeared first on Kosmo Digital.



