IOI Properties, Marriott bina hotel lima bintang pertama di Puchong bernilai RM500 juta

30 Jul 2026 • 2:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Properties, Marriott bina hotel lima bintang pertama di Puchong bernilai RM500 juta Image from: IOI Properties, Marriott bina hotel lima bintang pertama di Puchong bernilai RM500 juta liza30/07/2026 - 14:27 IOI Rio City Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai – Puchong bakal melakar satu lagi pencapaian baharu apabila hotel lima bintang pertama bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di Bandar Puteri Puchong menerusi projek The Westin Puchong yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500 juta.

 

Hotel yang dijadual memulakan operasi menjelang akhir Jun 2030 itu bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor hospitaliti di kawasan berkenaan, selain mengukuhkan kedudukan Puchong sebagai destinasi pilihan untuk urusan perniagaan, pelancongan dan penganjuran pelbagai acara berskala besar.

 

Pembangunan tersebut direalisasikan menerusi kerjasama antara IOI Properties Group Bhd dan Marriott International selepas kedua-dua syarikat memeterai perjanjian operasi serta pengurusan hotel bagi membawa jenama Westin ke Puchong buat julung kalinya.

 

Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Hartanah IOI Properties, Chris Chong berkata, pembukaan The Westin Puchong merupakan satu detik penting bukan sahaja kepada Bandar Puteri Puchong, malah kepada keseluruhan pembangunan di kawasan itu yang kini berkembang sebagai pusat komersial utama di Lembah Klang.

 

Menurut beliau, kehadiran hotel berjenama antarabangsa itu akan melengkapkan ekosistem perniagaan, hospitaliti dan acara, sekali gus meningkatkan daya tarikan Bandar Puteri Puchong kepada pelabur, syarikat korporat serta pelawat dari dalam dan luar negara.

 

IOI Rio City Jadi Pemangkin Pertumbuhan

The Westin Puchong merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur IOI Rio City bernilai RM12 bilion yang akan dibangunkan secara berperingkat selama 12 tahun di atas tapak seluas 40.47 hektar.

 

Projek berkenaan juga menjadi fasa terakhir pembangunan Bandar Puteri Puchong yang telah dibangunkan sejak 27 tahun lalu.

 

IOI Properties menyasarkan pembangunan itu mampu mengangkat Bandar Puteri Puchong sebagai sebuah hab perniagaan bertaraf antarabangsa dengan menggabungkan komponen komersial, peruncitan, pejabat, hospitaliti dan ruang awam dalam satu pembangunan bersepadu.

 

Antara komponen utama pembangunan itu ialah IOI Mall Rio, sebuah pusat beli-belah setinggi lima setengah tingkat yang menawarkan lebih satu juta kaki persegi ruang boleh disewa selain sebuah menara pejabat setinggi 30 tingkat. 

 

Fasa pertama pusat beli-belah itu sahaja melibatkan pelaburan melebihi RM1 bilion.

 

Chris berkata, ketika ini IOI Properties memiliki dan mengendalikan sembilan hotel dengan kapasiti keseluruhan 3,075 bilik di beberapa lokasi strategik.

 

Beliau berkata, menjelang 2030, jumlah bilik hotel kumpulan itu dijangka meningkat kepada 3,982 bilik hasil pembukaan The Westin Puchong, hotel W Singapore Marina View yang menawarkan 360 bilik serta beberapa projek lain yang sedang dirancang di Malaysia, Singapura dan China. 

 

Pertambahan itu selaras dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh sumber pendapatan berulang daripada segmen hospitaliti.

 

Kerjasama Kukuh Dengan Marriott International

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik (Tidak Termasuk China) Marriott International, Andree Susilo berkata, pembukaan The Westin Puchong membuktikan hubungan kerjasama yang semakin kukuh antara kedua-dua syarikat selepas kejayaan mengendalikan sembilan hotel serta satu lagi projek yang sedang dibangunkan.

 

Menurut beliau, jenama Westin terkenal dengan konsep kesejahteraan dan pengalaman penginapan bertaraf antarabangsa yang diyakini mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat di salah satu koridor komersial yang berkembang pesat di Malaysia.

 

Apabila mula beroperasi kelak, hotel yang mempunyai 324 bilik itu dijangka mewujudkan kira-kira 220 peluang pekerjaan. 

 

Pembangunan IOI Rio City turut direka berasaskan konsep "akses dalam tempoh 15 minit" dengan kemudahan laluan basikal, rangkaian pejalan kaki berlandskap, laluan berbumbung serta sambungan terus ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Perindustrian Puchong dan Bandar Puteri.

 

Sejak 2016, IOI Properties turut melabur lebih RM90 juta bagi menaik taraf infrastruktur sekitar melalui pembinaan jejambat, terowong, jambatan pejalan kaki serta laluan pejalan kaki yang lebih selesa bagi menyokong pertumbuhan pembangunan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved