IOI Properties sasar jualan RM3.8 bilion pada FY26, W Residences di Singapura jadi pemacu pertumbuhan - TA Securities

07/10/2025 - 11:02
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 7 Okt - IOI Properties Group Berhad berpotensi mencatatkan jualan baharu sebanyak RM3.8 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26) disokong pemulihan jualan di China dan pelancaran W Residences @ Marina View di Singapura.
TA Securities berkata, sasaran tersebut meliputi RM2 bilion jualan dari Malaysia dan China, serta RM1.8 bilion dari Singapura, berasaskan andaian kadar pengambilan 15% untuk W Residences.
Katanya, pengurusan kumpulan bagaimanapun menyasarkan kadar 25% jualan dalam tempoh tahun pertama, sekali gus membuka ruang kepada potensi kenaikan sekiranya momentum pelancaran melebihi jangkaan.
“Dengan lokasi perdana di Marina View dan kekuatan jenama global ‘W’, projek ini mampu menjadi pelancar pertumbuhan baharu kepada IOI Properties,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, projek W Residences @ Marina View, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) S$3.65 bilion, dijadual dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2025.
Katanya, harga jualan purata disasarkan sekitar S$5,000 sekaki persegi, meletakkannya dalam kategori ultra-premium di pasaran Singapura.
IOI Properties yakin pelancaran itu akan menarik minat pembeli serantau, termasuk dari Malaysia, China dan Asia Barat, memandangkan pasaran kediaman mewah Singapura kekal teguh walaupun dalam keadaan kadar faedah tinggi.
TA Securities berkata, selepas menyiapkan IOI Central Boulevard Towers pada April 2024 dan menambah pegangan South Beach pada September 2025 bernilai S$834.2 juta, IOI Properties kini memiliki portfolio mercu tanda bernilai kira-kira S$7 bilion di Central Business District Singapura.
Portfolio itu merangkumi 510,000 kaki persegi ruang pejabat Gred A, 30,800 kaki persegi ruang runcit, serta hotel JW Marriott yang memiliki 634 bilik, menjadikan kumpulan itu antara pemaju Malaysia dengan aset premium terbesar di Singapura.
“Kadar pinjaman dolar Singapura menyusut daripada 4.88% kepada bawah 3%, menjimatkan kira-kira RM175 juta kos faedah setahun, sekali gus mengukuhkan margin kumpulan,” katanya.
Kadar penghunian komited IOI Properties kini menghampiri 90%, dengan penghunian fizikal sekitar 50%, dijangka mencapai tahap pulang modal menjelang akhir FY26 apabila penghunian meningkat kepada 80%.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM2.78 sesaham.- DagangNews.com
standard
