IPCC mulakan siasatan kematian Noorizwan ketika dalam tahanan polis

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 9:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: IPCC mulakan siasatan kematian Noorizwan ketika dalam tahanan polis
Laporan Sinar Harian berhubung kes kematian dalam tahanan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan salah laku berkaitan kematian Noorizwan Zulkefly ketika berada dalam tahanan atau jagaan polis.

IPCC dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan tindakan itu dilaksanakan selaras dengan mandat dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) bagi meneliti fakta, dokumen, keterangan serta keadaan yang berkaitan dengan kejadian tersebut.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan dijalankan secara bebas, saksama dan berasaskan keterangan yang diperoleh serta disahkan melalui proses yang sewajarnya.

“Dapatan siasatan akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai,” menurut kenyataan itu.

IPCC berkata, pelaksanaan siasatan tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai satu kesimpulan awal bahawa wujud salah laku oleh mana-mana pihak.

“Sebarang penilaian, dapatan atau syor hanya akan dibuat berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“IPCC komited melaksanakan tanggungjawab pemantauan bebas secara telus, berintegriti dan profesional, dengan memastikan setiap perkara yang dirujuk diteliti sewajarnya di samping menghormati hak serta kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Noorizwan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved