
KUALA LUMPUR – Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, mahu Ahli Parlimen membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat, selain mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan status siasatan kes itu.
Keluarga turut meminta penjelasan mengenai dakwaan kecederaan dialami Allahyarham serta tindakan yang sudah diambil terhadap anggota polis terbabit.
Adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly berkata, keluarga menuntut keadilan atas kematian abangnya yang memasuki hari ke-27.
“Kita menuntut keadilan, kita minta semua pelaku ditangkap serta digantung tugas dan kita minta pelaku dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Seperti yang kita sedia maklum, daripada hari pertama sidang media, sampai ke hari ini dah 27 hari, masih belum ada lagi tangkapan dibuat, hendak tunggu apa lagi.
“Ahli keluarga sentiasa menunggu dan terus menunggu dan diberi pelbagai kenyataan dan kita tidak mahu semua itu, kita mahu semua pelaku ditahan dan didakwa di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen di bangunan Parlimen, sini, hari ini.
Terdahulu, keluarga Allahyarham bersama peguam dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) berarak dari Tugu Negara ke bangunan Parlimen bermula jam 10.30 pagi bagi menyerahkan Memorandum Seruan Untuk Tindakan Parlimen Berhubung Mangsa Kematian Dalam Tahanan Polis Noorizwan dan Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Memorandum itu diserahkan oleh Nooranis dan peguam Lawyers for Liberty (LFL), Rania Aljunied, kepada Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Omar A Manap.
Turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; dan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Noorizwan ditahan di IPD Cheras berhubung kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober lalu.
The post Keluarga Noorizwan tuntut pelaku ditahan, didakwa appeared first on Kosmo Online.






