Krisis takhta Negeri Sembilan: Serah kepada kebijaksanaan undang-undang negeri

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis takhta Negeri Sembilan: Serah kepada kebijaksanaan undang-undang negeri
Anwar berucap di Institut Pendidikan Guru Kampus Temonggong Ibrahim, Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya penyelesaian konflik berterusan antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat kepada undang-undang negeri.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan mengambil pendirian untuk tidak campur tangan secara langsung dalam isu berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak berkaitan untuk diselesaikan mengikut lunas perundangan serta adat negeri.

“(Krisis) Negeri Sembilan itu tenang sekarang ini, biar diuruskan secara undang-undang Negeri Sembilan dahulu. Ia akan ambil sedikit masa, kita serah kepada kebijaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan itu selepas mengadakan lawatan Institut Pendidikan Guru Kampus Temonggong Ibrahim di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.

Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman berkata, beliau tidak memperincikan sebab penangguhan tersebut, namun berharap kemelut yang sedang berlaku dapat dijernihkan sebelum persidangan akan datang.

Katanya, ketidakhadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin pada Istiadat Pembukaan DUN tidak menjejaskan perjalanan majlis rasmi berkenaan.

“Persidangan tetap boleh berjalan seperti biasa dan kehadiran Tuanku Muhriz adalah untuk merasmikan majlis serta menyampaikan titah baginda,” katanya.

Terdahulu, istiadat pembukaan DUN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana tertutup dengan ketibaan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di perkarangan DUN kira-kira jam 9.35 pagi, diiringi Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.