liza08/01/2026 - 10:40 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Qube International Bhd, penyedia perkhidmatan pameran dan acara merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membina kapasiti syarikat dan membayar balik pinjaman bank.
Menurut draf prospektus yang difailkan dengan Bursa Malaysia, hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) akan digunakan untuk menubuhkan pasukan mekanikal dan elektrik dalaman serta pusat pemasangan dan pengeluaran baharu, mengembangkan pejabat korporat, serta menyelesaikan pinjaman bank.
IPO yang dicadangkan akan melibatkan tawaran saham kepada orang awam sebanyak 20% pegangan syarikat, berserta tawaran untuk dijual sebanyak 5%.
Qube menawarkan perkhidmatan pameran dan acara secara bersepadu termasuk pengurusan tempat pameran, reka bentuk dan pengeluaran pameran, serta penganjuran acara.
Syarikat turut memiliki pegangan 35% dalam Metco Sdn Bhd, yang memegang hak pengurusan Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec) sehingga hujung 2030.
Baki 65% Metco dimiliki oleh SSRV Holdings Sdn Bhd dan Salam Arenajaya Sdn Bhd.
Kontrak pengurusan Mitec sebelum ini diuruskan oleh unit milik penuh Qube, Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, dari 2024 hingga hujung 2025.
Prestasi kewangan Qube menunjukkan peningkatan ketara dengan keuntungan selepas cukai meningkat daripada RM3.13 juta pada FY2023 kepada RM5.86 juta pada FY2024 dan melonjak kepada RM46.98 juta pada FY2025.
Hasil syarikat pula meningkat daripada RM69.51 juta pada 2023, RM86.52 juta pada 2024 dan RM254.81 juta pada 2025 disokong oleh pengurusan Mitec.
Bagi IPO, tawaran kepada orang awam melibatkan 62.27 juta saham (5%), manakala 18.68 juta saham (1.5%) diperuntukkan untuk individu layak.
Penempatan persendirian melibatkan 93.405 juta saham (7.5%) untuk pelabur Bumiputera dan 74.72 juta saham (6%) untuk pelabur terpilih.
62.27 juta saham di bawah tawaran untuk dijual akan ditawarkan oleh pemegang saham utama YHR Sdn Bhd, Pengarah Eksekutif Thong Man Yee dan Yap Leng Ping.
YHR dimiliki 77.33% oleh CEO dan Pengarah Eksekutif Qube Teo Siong Yam, 14.67% oleh isteri beliau Lee Yah Ho @ Annie Lee dan 8% oleh anak mereka Teo Yin Hao.
Berdasarkan pegangan semasa, YHR mempunyai 82.29%, diikuti Thong 8.28% dan Yap 3.21%. Selepas IPO, pegangan YHR dijangka berkurang kepada 61.71%, Thong kepada 6.21% dan Yap kepada 2.41%.
NewParadigm Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan untuk IPO ini.- DagangNews.com
