
PETALING JAYA: Malaysia mencatat pencapaian penting dalam kerjasama serantau selepas Berjaya memuktamadkan Ipoh Accord hasil Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China (ACMROCH) 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia memperkukuh komitmen negara ASEAN dan China dalam memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembinaan komuniti yang lebih inklusif dan bersatu padu.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen bersama ASEAN dan Republik Rakyat China untuk bergerak daripada dialog kepada tindakan.
“Malaysia berbangga menjadi pemudah cara kepada kerjasama strategik yang akan memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembinaan komuniti lebih bersatu padu demi kesejahteraan rakyat di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ACMROCH 2026 yang berlangsung di Ipoh, Perak pada 1 hingga 2 Ogos 2026 menghimpunkan menteri, pegawai kanan kerajaan serta delegasi ASEAN dan China menerusi platform dialog strategik bertemakan ‘Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu’.
Dokumen itu menggariskan tiga keutamaan utama iaitu kecekapan tenaga, perumahan berteraskan nilai serta keharmonian komuniti.
Ia turut menggalakkan penggunaan teknologi pintar, reka bentuk responsif iklim, kaedah pembinaan inovatif serta penggunaan bahan binaan rendah karbon bagi mewujudkan bandar yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Ipoh Accord mengiktiraf perumahan sebagai pelaburan sosial jangka panjang yang tidak hanya dinilai berdasarkan kos pembinaan, tetapi turut mengambil kira aspek kualiti, kebolehcapaian, penyelenggaraan, kecekapan penggunaan utiliti serta keselesaan penghuni.
Jelasnya, dokumen itu turut memberi penekanan terhadap pembentukan kejiranan yang selamat, inklusif dan mudah diakses bagi memperkukuh kesejahteraan sosial serta daya tahan masyarakat.
“Kerjasama itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu bandar mampan, perumahan berkualiti, komuniti bersatu padu dan kerjasama serantau.
“Selain itu, persidangan berkenaan turut memperkukuh kerjasama tiga dimensi membabitkan kerajaan melalui perkongsian dasar dan amalan terbaik, industri menerusi penerapan teknologi serta inovasi, dan kerjasama antara bandar melalui pertukaran pengalaman pembangunan,” ujarnya.
Sebagai hasil utama ACMROCH 2026, Ipoh Accord turut memperkukuh peranan persidangan itu sebagai platform pertukaran dasar, perkongsian pengetahuan, pertukaran teknikal serta pengukuhan kerjasama yang memberi manfaat bersama antara ASEAN dan China. – UTUSAN
The post Ipoh Accord bukti komitmen China, ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.






