Malaysia pacu agenda bandar mampan ASEAN-China

1 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia pacu agenda bandar mampan ASEAN-China

IPOH – Malaysia mengangkat agenda pembangunan bandar mampan, perumahan berkualiti dan komuniti inklusif sebagai keutamaan kerjasama ASEAN-China menerusi Persidangan Pembinaan dan Perumahan Peringkat Menteri ASEAN-China (ACMROCH) 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, persidangan itu menjadi medan penting untuk menyelaras usaha negara serantau dalam menghadapi cabaran urbanisasi pesat yang memberi tekanan kepada infrastruktur, tenaga dan penyediaan kediaman.

Menurut beliau, lebih 57 peratus populasi dunia kini menetap di kawasan bandar, manakala kadar perbandaran di Asia telah melepasi 54 peratus.

“Perubahan demografi itu turut dapat dilihat menerusi kadar perbandaran China yang mencapai 67 peratus, manakala Malaysia berada pada tahap 78 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap perancangan bandar yang lebih mampan.

“Perubahan besar ini memberi tekanan terhadap infrastruktur, stok perumahan dan sistem tenaga. Keperluan mewujudkan bandar yang mampan, perumahan mampu milik serta pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim kini menjadi cabaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pembinaan dan Perumahan Peringkat Menteri ASEAN-China (ACMROCH) 2026 di Hotel AC Marriott Ipoh di sini hari ini.

Persidangan bertemakan Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan serta delegasi daripada 11 negara anggota ASEAN termasuk Malaysia dan China bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dalam sektor perumahan serta pembangunan bandar yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Kor Ming berkata, kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal atau bangunan pencakar langit, sebaliknya melalui keupayaan menyediakan kediaman yang selamat, peluang yang lebih luas serta komuniti yang sejahtera.

“Persidangan ini memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama iaitu mempercepat pembangunan perumahan cekap tenaga dan responsif terhadap perubahan iklim, menggalakkan perumahan berasaskan nilai serta pertumbuhan bandar inklusif.

“Selain itu, kita turut memberi penekanan kepada pengukuhan perkhidmatan bandar dan infrastruktur mampan termasuk bekalan air, tenaga serta kemudahan asas, di samping membina komuniti yang lebih kukuh melalui kejiranan selamat dan inklusif,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat agenda itu akan menjadi asas kepada kerjasama lebih erat antara ASEAN dan China bagi menghasilkan penyelesaian pembangunan bandar yang lebih praktikal, mampan dan berdaya tahan.

Sementara itu, Kor Ming berkata, Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat memainkan peranan penting dalam memperjuangkan pelaksanaan Agenda Bandar Baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat global.

Katanya, kerjasama melalui ACMROCH 2026 selari dengan usaha UN-Habitat untuk membangunkan bandar yang inklusif, berdaya tahan serta mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan turut menyokong aspirasi Malaysia Madani, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan pembangunan berpusatkan rakyat.

Kor Ming berkata, cadangan Ipoh Accord pula menjadi panduan kepada negara terlibat dalam memperkukuhkan komitmen bersama ke arah bandar lestari, perumahan berkualiti dan komuniti yang lebih bersatu.

“Kejayaan ACMROCH 2026 tidak hanya dinilai melalui perbincangan yang berlangsung tetapi melalui tindakan nyata yang mampu memberi manfaat kepada rakyat di seluruh rantau ASEAN-China,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia pacu agenda bandar mampan ASEAN-China appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved