
PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 201 diberi autonomi menentukan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bersesuaian susulan keadaan kualiti udara semasa.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pihaknya terus memantau rapat perkembangan kualiti udara dan telah mengarahkan semua IPT bawah seliaannya supaya memantau bacaan IPU di lokaliti masing-masing.
“Dalam hubungan ini, pengurusan IPT di kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 201 diberi autonomi menentukan mod PdP bersesuaian bagi mengurangkan risiko kesihatan dan memastikan pembelajaran mahasiswa diteruskan.
“Aktiviti luar turut perlu dinilai dan disesuaikan berdasarkan bacaan IPU semasa.
“Warga IPT diingatkan supaya merujuk maklumat rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mematuhi panduan pengurusan IPT masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPT akan terus memantau keadaan dan menyesuaikan pendekatan pengoperasian IPT demi kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya. – UTUSAN
The post IPT di kawasan IPU lebih 201 ada autonomi tentu mod PdP appeared first on Utusan Malaysia.





