‘IPU 150 sudah tidak sihat, tapi tak semua perlu tindakan sama’

LocalHealth & Fitness
15 Oct 2026 • 4:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘IPU 150 sudah tidak sihat, tapi tak semua perlu tindakan sama’

PETALING JAYA – Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 150 sememangnya sudah berada dalam kategori tidak sihat, namun tidak semua tahap risiko jerebu memerlukan tindakan yang sama termasuk penutupan sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kebimbangan ibu bapa pada tahap bacaan itu sememangnya berasas, namun pengurusan jerebu mempunyai tindakan berbeza mengikut tahap IPU.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi berkaitan, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil kira pandangan bahawa pengurusan jerebu negara perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

“Mungkin ada yang tanya, kenapa pula nak ikut pelan ini? Kenapa tak kekalkan saja IPU yang lebih rendah? Bukankah lagi rendah, lagi selamat?

“Saya faham logik itu. Lagipun, bacaan IPU 150 memang sudah berada dalam kategori tidak sihat. Kebimbangan ibu bapa pada tahap itu memang berasas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan dan aktiviti di padang akan dihentikan bagi mengurangkan pendedahan murid kepada jerebu meskipun risiko kesihatan masih wujud.

Bagi tahap lebih tinggi pula, tindakan penutupan sekolah akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 200.

“PTJK ini pun bukan pelan yang baru dibuat. Negara memang dah ada panduan untuk uruskan jerebu. Sebab itu penting untuk kita kembali kepada satu panduan yang sudah ditetapkan di peringkat kebangsaan,” katanya.

Fadhlina berkata, pengurusan jerebu bukan sekadar melibatkan keputusan sama ada sekolah perlu dibuka atau ditutup, sebaliknya turut merangkumi aspek kesihatan, kualiti udara dan pengurusan bencana.

“Soal jerebu ini bukan sekadar soal sekolah nak buka atau tutup. Kita bercakap tentang kesihatan, keadaan udara dan macam mana negara nak uruskan bencana.

“KPM ini bidangnya pendidikan. Kalau soal kesihatan, kita ada Kementerian Kesihatan. Kalau nak tahu keadaan udara, kita ada Jabatan Alam Sekitar. Kalau soal pengurusan bencana, kita ada Nadma. Masing-masing ada pakar dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, keputusan berkaitan pengoperasian sekolah turut mengambil kira keadaan dan cabaran berbeza yang dihadapi setiap keluarga.

Menurutnya, terdapat ibu bapa yang bimbang anak-anak semakin ketinggalan dalam pelajaran, manakala sebahagian yang lain berdepan kesukaran untuk menguruskan penjagaan anak sekiranya sekolah ditutup secara tiba-tiba ketika mereka perlu bekerja.

Katanya, setiap pandangan mempunyai asas tersendiri dan perkara itu perlu dipertimbangkan dengan teliti memandangkan sebarang keputusan dibuat melibatkan jutaan murid.

Pada masa sama, beliau berkata, KPM menyedari tahap kesihatan setiap murid adalah berbeza dan terdapat golongan yang lebih mudah terjejas akibat jerebu.

“Bukan semua anak mempunyai keadaan kesihatan yang sama. Ada yang menghidap asma, ada yang mempunyai masalah pernafasan dan ada yang lebih mudah terkesan dengan jerebu.

“Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah.

“Saya tahu bagi ibu bapa kesihatan anak-anak bukan perkara yang boleh dikompromi. Saya pun melihatnya begitu,” katanya.

Bagaimanapun, Fadhlina berkata, aspek kesihatan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab memastikan murid tidak terus kehilangan masa pembelajaran.

“Namun, kita juga ada tanggungjawab memastikan mereka tidak terus kehilangan masa belajar. Pengalaman kita ketika PKP dahulu cukup mengajar betapa sukarnya untuk mendapatkan semula pembelajaran yang tertinggal.

“Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘IPU 150 sudah tidak sihat, tapi tak semua perlu tindakan sama’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved