
KUALA LUMPUR - Sekolah di Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Putrajaya beroperasi seperti biasa esok meskipun kualiti udara di kawasan terbabit berada pada tahap tidak sihat.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan menentukan keperluan penutupan sekolah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan situasi semasa.
Sehubungan itu, murid, guru dan kakitangan sekolah disaran memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Ibu bapa yang bimbang tentang kesihatan anak mereka pula boleh memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, semua aktiviti luar di Pahang, Selangor dan Putrajaya dihentikan susulan keadaan tersebut.
Bagi Negeri Sembilan, aktiviti luar termasuk pendidikan jasmani, sukan, kegiatan kokurikulum, perkhemahan, sambutan dan perhimpunan perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.
KPM menetapkan bahawa keputusan menutup sekolah perlu dibuat berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa, bacaan IPU serta keadaan jerebu di kawasan masing-masing. - Getaran, 15 Oktober 2026






