IPU Sri Aman sangat tidak sihat, 28 kawasan termasuk Putrajaya terjejas

LocalEnvironment
29 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: IPU Sri Aman sangat tidak sihat, 28 kawasan termasuk Putrajaya terjejas

JAS laporkan kualiti udara merosot di seluruh negara berikutan asap jerebu dari Kalimantan dan Sumatera; Sri Aman catat bacaan tertinggi 221.

PUTRAJAYA: Kualiti udara di Sri Aman, Sarawak terus mencatatkan tahap sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 221 setakat 9 pagi ini, manakala 28 kawasan lain di seluruh negara merekodkan tahap tidak sihat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan hari ini berkata 39 kawasan lagi, mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Beliau berkata antara kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat di Sarawak melibatkan IPD Serian (194), Sarikei (190), Kuching (169), Samarahan ( 168), Mukah (165), Sibu (161), Kapit (154) dan Bintulu (150).

Di Semenanjung, kualiti udara tidak sihat dikesan di Sungai Petani (161), Langkawi (157) dan Alor Setar (155) di Kedah; Minden (160), Seberang Perai (157) dan Seberang Jaya (156) di Pulau Pinang; Cheras (160) dan Batu Muda (155) di Kuala Lumpur; serta Putrajaya (155).

Turut terjejas ialah Taiping (155), Tanjung Malim (154), Tasek Ipoh (151) dan Seri Manjung (110) di Perak; Shah Alam (154), Johan Setia (153) dan Petaling Jaya (133) di Selangor; Nilai (152) dan Seremban (136) di Negeri Sembilan; Kangar, Perlis (155) serta Segamat, Johor (142).

Azuri Azizah berkata kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot, disebabkan dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Beliau berkata berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, serta imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 1,738 titik panas dikesan di Kalimantan, 36 di Sumatera dan enam dikesan di dalam negara, iaitu satu di Sabah dan lima di Sarawak.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 28 Ogos menunjukkan, keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Borneo yang menerima hujan.

Kelompok titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” katanya.

Beliau turut berkata kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“Sementara itu, kepulan asap setempat ringan hingga sederhana dikesan di bahagian timur Jawa.

“Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, merekodkan bacaan pada tahap Tidak Sihat hingga Sangat Tidak Sihat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved