
PETALING JAYA – Kualiti udara negara terus menunjukkan keadaan membimbangkan apabila 29 daripada 68 stesen pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, setakat pukul 11.26 pagi hari ini.
Lebih membimbangkan, Sri Aman, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan mencatatkan tahap sangat tidak sihat dengan bacaan IPU 226.
Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sarawak mendominasi senarai kawasan dengan bacaan tinggi apabila IPD Serian merekodkan IPU 197, diikuti Sarikei (192), Kuching (172), Samarahan (171), Mukah (168) dan Sibu (163).
Keadaan tidak sihat turut melanda beberapa negeri lain termasuk Sungai Petani, Kedah yang mencatatkan IPU 162, Minden, Pulau Pinang (160) serta Cheras, Kuala Lumpur (160).
Selain itu, Seberang Perai, Pulau Pinang merekodkan bacaan 158, Langkawi, Kedah (157), Alor Setar, Kedah (156), Seberang Jaya, Pulau Pinang (156) dan Shah Alam, Selangor (156).
Dalam pada itu, 38 stesen lain berada pada tahap sederhana, manakala tiada satu pun stesen di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap baik ketika bacaan tersebut direkodkan.
Antara kawasan yang berada pada tahap sederhana ialah Kuala Selangor dengan IPU 98, Banting (94), Samalaju, Sarawak (93), Tangkak, Johor (91), Alor Gajah dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 90.
Turut mencatatkan tahap sederhana ialah Kota Bharu (85), Tanah Merah (83), Kota Kinabalu (83), Batu Pahat (82), Port Dickson dan Larkin masing-masing 81 serta Kluang (79).
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: 29 kawasan catat IPU tidak sihat, Sri Aman sangat tidak sihat appeared first on Kosmo Digital.




