
KUALA LUMPUR 1,Kualiti udara di seluruh negara merosot dengan ketara apabila 28 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Sri Aman di Sarawak mencatatkan bacaan paling buruk sehingga memasuki kategori sangat tidak sihat, setakat jam 10 pagi, Sabtu.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman merekodkan bacaan IPU tertinggi di negara ini, iaitu 221.
Sarawak kekal sebagai antara negeri yang paling terjejas akibat jerebu apabila lapan kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat.
Serian merekodkan IPU 194, diikuti Sarikei (190), Kuching (169), Samarahan (168), Mukah (165), Sibu (161), Kapit (154) dan Bintulu (150).
Keadaan sama turut melanda Semenanjung Malaysia, dengan Sungai Petani merekodkan IPU 161, manakala Langkawi mencatatkan 157 dan Alor Setar 155.
Di Pulau Pinang, Minden merekodkan bacaan 160, sementara Seberang Perai dan Seberang Jaya masing-masing mencatatkan IPU 156.
Di Lembah Klang, Cheras mencatatkan bacaan 160, diikuti Batu Muda (155), manakala Putrajaya merekodkan IPU 153.
Beberapa kawasan di Selangor turut berada pada tahap tidak sihat, termasuk Shah Alam dengan bacaan 154, Johan Setia (153) dan Petaling Jaya (133).
Antara kawasan lain yang turut merekodkan kualiti udara tidak sihat ialah Kangar di Perlis (155); Taiping (155), Tanjung Malim (154), Tasek Ipoh (151) dan Seri Manjung (110) di Perak; Seremban (136) dan Nilai (152) di Negeri Sembilan; serta Segamat di Johor (142).
Sebanyak 38 lagi stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, dengan tiada satu pun kawasan mencatatkan bacaan kualiti udara yang baik.
Mengikut klasifikasi kualiti udara Malaysia, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Kemerosotan mendadak kualiti udara itu berlaku ketika jumlah titik panas rentas sempadan di rantau ini meningkat.
Pemantauan satelit oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura mengesan sebanyak 1,738 titik panas di Kalimantan, 36 di Sumatera dan enam di Malaysia, termasuk lima di Sarawak dan satu di Sabah.
Susulan perkembangan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, selain memperhebat rondaan serta pemantauan harian di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku kebakaran.
Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada pemilik tanah supaya memastikan kawasan seperti tapak pelupusan sampah, tanah gambut, hutan, kawasan pertanian dan premis perindustrian sentiasa dipantau serta dilindungi daripada aktiviti pembakaran terbuka secara haram.
Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali. - Getaran, 29 Ogos 2026






