
PETALING JAYA – Kualiti udara di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam terus membimbangkan apabila ketiga-tiga kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sejak pagi tadi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Batu Muda, Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 173 setakat pukul 12 tengah hari ini.
Johan Setia di Selangor turut berada di kedua tertinggi dengan bacaan IPU 171, diikuti Petaling Jaya (169), Shah Alam (168) dan Cheras, Kuala Lumpur (167).
Sementara itu, di Nilai, Negeri Sembilan dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing merekodkan bacaan IPU 165 tengah hari ini.
Turut berada dalam kelompok 10 kawasan teratas kategori IPU tidak sihat adalah Putrajaya (163), Klang (163) dan Banting, Selangor (162), manakala 18 kawasan lain-lain dengan majoriti di Johor merekodkan bacaan 115 hingga 162.
Dalam pada itu, sebanyak 34 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana dengan bacaan 52 hingga 99 ketika ini.
Semalam, kebanyakan kawasan yang direkodkan bacaan IPU tahap tidak sihat dikuasai sekitar negeri Johor, antaranya Pasir Gudang, Kota Tinggi, Larkin dan Pengerang.
Malah, di Lembah Klang secara purata hanya merekodkan bacaan IPU di bawah 160. – KOSMO! ONLINE
The post IPU tidak sihat beralih tinggi di KL,PJ, Shah Alam appeared first on Kosmo Online.






