
IQOO secara rasmi memperkenalkan tablet gaming terbaharu, iQOO Pad Ultra di pasaran China. Tablet hadir dengan skrin OLED 8.8 inci beresolusi 2304 x 1440 piksel, nisbah 16:10, kadar segar semula 165Hz serta kecerahan puncak sehingga 4,500 nits. Dengan ketebalan hanya 5.74 mm dan berat 298 gram, ia direka untuk memberikan pengalaman permainan yang mantap dalam rekaan yang nipis dan ringan.

Ia dipadankan dengan cip berkuasa Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 bersama memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 1TB. Sistem penyejukan menjadi salah satu tarikan utama dengan ruang wap seluas 71,446 mm², kipas aktif bersaiz 30 x 30 mm, serta komponen penyejukan berasaskan tembaga yang direka untuk memastikan prestasi kekal stabil ketika sesi permainan intensif.

Bateri berkapasiti 9,020 mAh hadir dengan teknologi anod silikon generasi keempat serta menyokong pengecasan pantas 66W. Peranti ini turut dilengkapi dengan Bluetooth 5.4, port USB 3.2 Gen 1 dengan sokongan DisplayPort, pembesar suara stereo dan motor linear berkembar. Ia juga menjalankan sistem OriginOS 7 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Star Armor Silver dan Ender Black.

Tablet ini hadir dengan empat konfigurasi memori dan storan, bermula daripada 12GB RAM + 256GB pada harga RMB 6,499 (~RM3,955) sehingga model paling besar 16GB RAM + 1TB pada harga RMB 8,999 (~RM5,477). Buat masa ini, ketersediaan global masih belum diumumkan.
Sumber: iQOO Pad Ultra




