Iqzan Holding dapat projek bina bangunan 24 tingkat bernilai RM143 juta
herman
13/06/2024 - 09:44
KUALA LUMPUR 13 Jun - Iqzan Holding Bhd menerusi anak syarikatnya, Kacon Construction Sdn Bhd (KCSB) memperoleh projek pembinaan bernilai kira-kira RM143 juta.
Syarikat itu berkata, projek berkenaan membabitkan pembinaan bangunan pejabat 24 tingkat di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur.
"Projek pembinaan ini terdiri daripada 24 tingkat termasuk 6 tingkat podium dengan lot pejabat, tempat letak kereta, kawasan umum dan 18 tingkat lantai dasar pejabat.
"Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Iqzan bagi tahun kewangan 2025, tahun kewangan 2026 dan tahun kewangan 2027," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu memaklumkan pelbagai faktor risiko yang mungkin menjejaskan projek terbabit, termasuk ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan-bahan, harga bahan binaan yang turun naik, serta perubahan situasi politik, ekonomi dan kawal selia.
"KCSB mempunyai kepakaran dalam perniagaan pembinaan, dan pengurusan percaya ia akan membantu mengurangkan risiko ini," jelasnya. - DagangNews.com


