
KECAMAN mungkin tidak pernah berhenti, tetapi bagi Ira Kazar, semuanya kini sudah tidak lagi memberi kesan sebesar dahulu.
Nama yang sering menjadi perhatian, ditambah dengan pelbagai label panas termasuk ‘penyondol’, tidak menafikan perjalanan hidup Ira sering diiringi pandangan negatif netizen.
Namun berbeza dengan dulu, dia kini tampil dengan pendekatan lebih tenang, tidak melawan, tetapi memilih untuk melepaskan. Ira merupakan anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi dan mula dikenali dalam dunia hiburan sebagai pelakon sebelum namanya menjadi perhatian lebih meluas di media sosial.
“Saya dah imun, mungkin sebab kebanyakan ayat netizen sama saja. Cuma, ada masanya terkesan juga di hati bila baca, lebih-lebih lagi ketika mood tak begitu baik.
"Walau bagaimanapun, saya memilih untuk abaikan dan buat perkara lain," katanya.

Ira atau nama lengkapnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkongsi hal tersebut bersama SinarPlus ketika ditemui di majlis rumah terbuka All Star Influencers.
Pengakuan itu mungkin kedengaran ringkas, namun di sebaliknya tersimpan proses panjang dalam membina ketahanan diri.
Baginya, cuba menutup mulut orang lain adalah sesuatu yang mustahil. Apa yang lebih penting adalah bagaimana seseorang itu mengawal diri sendiri daripada terus tenggelam dalam emosi negatif.
Menjadi ‘imun’ bukan bererti kebal sepenuhnya. Wanita yang kini memasuki usia 31 tahun itu sendiri mengakui ada waktu tertentu hatinya tetap terusik, lebih-lebih lagi apabila berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil.
Namun apa yang membezakan dirinya sekarang adalah keupayaan untuk tidak berlama-lama dalam perasaan tersebut.
Dia memilih untuk ‘switch off’ dan mencari ruang yang lebih positif. Dalam konteks kehidupan hari ini, kemampuan mengawal emosi menjadi satu bentuk self-care yang semakin penting, lebih-lebih lagi dalam dunia digital yang tidak pernah sunyi daripada penilaian.
Seperti kebanyakan individu lain, Ira juga punya ‘safe space’ tersendiri iaitu keluarga. Malah katanya, masa yang diluangkan bersama anak-anak saudara juga memberikan ketenangan yang sukar digambarkan.
“Biasanya saya akan bertemu dengan kakak atau keluarga selain anak buah. “Apabila bersama mereka, perasaan itu terus hilang,” katanya lagi.

Dalam kekecohan dunia maya akan dirinya, Ira melihat satu sisi yang agak menarik, bagaimana netizen sendiri yang akhirnya ‘terjebak’ dalam emosi.
“Kadang-kadang orang lain pula yang 'koyak'. Disebabkan saya, netizen bergaduh sesama sendiri.
“Seolah-olah mereka pula yang tidak ‘move on’,” ungkapnya sambil tersenyum.
Jodoh orang biasa
Bagi Ira, situasi tersebut tidak lagi memberi tekanan seperti dahulu. Sebaliknya, dia lebih melihatnya sebagai satu pemerhatian terhadap realiti media sosial hari ini.
Menyentuh tentang kehidupan peribadi, dia tidak menafikan pengalaman lalu banyak membentuk dirinya hari ini.
Perkahwinannya dengan pengarah dan pelakon Syamsul Yusof pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand sebelum didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun sama, menjadi antara fasa penting dalam hidupnya.
Namun, hubungan itu tidak berkekalan apabila mereka sah bercerai pada 5 September 2024. Bukan untuk dikenang dengan kesedihan, sebaliknya dijadikan sebagai pengajaran yang mematangkan.
Sehingga kini, dia masih solo dan belum mempunyai insan istimewa dalam hidup. Namun itu tidak bermaknanya dirinya trauma atau serik untuk menjalin hubungan, sebaliknya lebih kepada sikap berhati-hati yang lahir daripada pengalaman lalu.

“Sejujurnya saya tidak memandang rupa, cukuplah sedap mata memandang, bijak dan tahu mengawal situasi, lebih-lebih lagi ketika berdepan konflik.
“Cuma, kalau ada jodoh saya berharap biarlah orang biasa tetapi memiliki kerjaya yang stabil. Sebaiknya bukanlah dari kalangan orang industri," dedahnya lagi.
Dalam masa sama, Ira menegaskan dia tidak pernah menutup pintu hati sepenuhnya.
“Tidak timbul soal serik kerana pada saya kita tak boleh nak samakan semua lelaki sama kerana manusia ini berbeza-beza.
“Mungkin pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk lebih teliti dan berhati-hati bagi menilai seseorang atau latar belakangnya sebelum membuat apa-apa keputusan," kongsi Ira.




