Iran lancar ribuan peluru berpandu tetapi...

WorldPolitics
4 Apr 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dalam siri konflik di Asia Barat, Iran dilaporkan telah melancarkan lebih 5,000 dron dan peluru berpandu.

SEJARAH peperangan moden sering diukur melalui angka - berapa banyak aset yang dikerahkan dan sejauh mana kemusnahan dihasilkan.

Dalam siri konflik di Asia Barat, Iran dilaporkan telah melancarkan lebih 5,000 dron dan peluru berpandu.

Namun, di sebalik angka menggerunkan itu, wujud satu fakta yang jarang dikupas secara mendalam oleh media arus perdana Barat.

Berdasarkan pengesahan rasmi setakat ini, tidak ada satu pun sekolah, hospital, mahupun rumah ibadat yang menjadi sasaran langsung serangan tersebut.

Walaupun terdapat kehilangan nyawa dalam kalangan orang awam akibat serpihan peluru berpandu pemintas di kawasan berpenduduk, tiada bukti konsisten mahupun kredibel yang menunjukkan wujudnya penyasaran sengaja terhadap institusi awam oleh pihak Teheran. Ia bukan satu kebetulan, melainkan sebuah manifestasi daripada doktrin ketenteraan yang sangat spesifik.

Secara teknikal, Iran menggunakan teknologi peluru berpandu berpanduan tepat (precision-guided) yang direka untuk mengenai sasaran strategik dengan ralat minimum.

Sasaran mereka jelas iaitu pangkalan udara, pusat perisikan dan aset ketenteraan. Penggunaan teknologi itu menunjukkan terdapat usaha yang sedar untuk mengehadkan 'collateral damage' atau kesan sampingan terhadap orang awam.

Dalam erti kata lain, serangan Iran lebih bersifat 'pencegahan' (deterrence) untuk menunjukkan kekuatan tanpa perlu menghancurkan struktur sosial pihak lawan.

Jika kita memalingkan wajah ke arah strategi diamalkan oleh pihak Amerika Syarikat (AS)-Israel, perbezaannya sangat mencolok mata. Seawal hari pertama lagi, sejarah mencatatkan bagaimana serangan peluru berpandu telah menghujani sebuah sekolah rendah di Minab, Iran.

Tragedi memilukan itu meragut nyawa antara 168 hingga 180 individu dan yang menyedihkan lebih 100 daripada mereka ialah kanak-kanak. Laporan rasmi mengenal pasti 66 kanak-kanak lelaki dan 54 kanak-kanak perempuan antara terkorban dalam sekelip mata.

Sejak bermulanya konflik, infrastruktur awam dilihat terus menjadi sasaran utama dalam naratif perang AS-Israel. Kita menyaksikan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan selamat dibom tanpa belas kasihan, hospital utama lumpuh atau musnah sepenuhnya sehingga bayi dalam inkubator kehilangan nyawa, malah rumah ibadat yang menjadi simbol keamanan juga tidak terkecuali. Itu belum lagi mengambil kira konflik berdekad di Gaza yang menyaksikan kemusnahan sistemik yang jauh lebih dahsyat.

Strategi

Perbezaan itu bukan sekadar isu teknikal tetapi isu moral. Strategi Iran dilihat lebih tertumpu kepada sasaran ketenteraan yang keras. Sebaliknya, strategi AS-Israel beroperasi dalam medan perang bandar di mana infrastruktur awam berulang kali terjejas di bawah alasan memburu pejuang.

Namun, apabila ribuan nyawa kanak-kanak terkorban dan beratus-ratus kemudahan perubatan ranap, adakah alasan 'asas ketenteraan' masih boleh diterima secara etika?

Apabila sesuatu perkara berlaku sekali, kita mungkin menganggapnya sebagai kesilapan teknikal tetapi apabila ia berulang kali terjadi - dari satu konflik ke konflik lain - ia membentuk sebuah corak yang tidak boleh dinafikan.

Dan, apabila corak itu jelas kelihatan, adakah kita boleh disalahkan jika membuat kesimpulan bahawa tindakan tersebut adalah sesuatu yang disengajakan?

Melihat kepada ribuan nyawa kanak-kanak terkorban di Gaza sejak 7 Oktober dan sepanjang tahun-tahun sebelumnya, timbul satu persoalan besar yang mengusik sanubari kemanusiaan kita. Meskipun Zionis Israel mendakwa diri mereka sebagai 'bangsa terpilih' Tuhan, tindakan mereka di medan perang sering kali bercanggah dengan nilai-nilai ketuhanan paling asas.

Di satu pihak, kita melihat sebuah negara yang melancarkan 5,000 senjata tetapi tetap menjaga garis merah terhadap institusi awam. Di pihak lain, darah kanak-kanak telah tumpah sejak hari pertama lagi. Maka, siapakah yang sebenarnya memperlihatkan pekerti sebagai 'bangsa terpilih' dengan sedaya upaya mengelak pembunuhan kanak-kanak dan orang awam? Jawapannya mungkin terletak pada tindakan, bukan pada dakwaan.

*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd merupakan penulis isu kepimpinan, pengurusan dan dialog antara agama