
TEHERAN: Tentera Iran pada Jumaat melancarkan serangan dron ‘balas dendam’ yang menyasarkan kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Kuwait selepas bedilan Washington ke atas kediaman penduduk di Pulau Qeshm kelmarin.
Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata, serangan itu merupakan fasa ke-27 Operasi Saegheh yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas Iran kelmarin. Serangan itu turut dilakukan bagi ‘membalas dendam’ selepas peluru berpandu AS menyerang sebuah rumah di pulau tersebut yang mengorbankan sebuah keluarga, termasuk seorang kanak-kanak.
Ia memaklumkan pihaknya menyasarkan tempat perlindungan pesawat pejuang, sistem komunikasi satelit dan kemudahan penyimpanan peralatan di Pangkalan Udara Ahmad al-Jaber di Kuwait.
Menurut IRGC, pangkalan itu sebagai hab utama bagi operasi udara dan pemantauan AS dan menambah bahawa ia juga berfungsi sebagai pusat logistik penting untuk tentera Amerika.
Ia turut mendakwa bahawa operasi yang dilancarkan berulang kali oleh pasukan itu bersama tentera Iran telah menjadikan AS sukar memintas dron dan peluru berpandu Teheran walaupun menggunakan sistem pertahanan udara yang canggih.
“Justeru, musuh terpaksa mengenakan penapisan yang ketat bagi menghalang laporan mengenai kerosakan, kematian dan kecederaan daripada disiarkan,” dakwa IRGC.
Terdahulu, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, mengecam serangan ke atas Pulau Qeshm dan menyifatkannya sebagai kesinambungan serangan AS di Minab dan Lamerd, yang menurut Teheran turut menyasarkan orang awam.
“Amerika sudah terbiasa menebus kekalahan yang dialami di medan perang dengan menumpahkan darah orang yang tidak berdosa. Mereka akan membayar harganya,” ujarnya.
Pertempuran yang kembali tercetus itu memusnahkan tempoh singkat ketenangan yang menyaksikan kedua-dua pihak cuba menghidupkan semula usaha diplomatik bagi mengelakkan peningkatan konflik yang lebih besar.
Pada Rabu lalu, tentera AS melancarkan serangan balas besar-besaran ke atas Iran. Ia merupakan serangan pertama di wilayah Iran dalam tempoh hampir seminggu.
Menurut Pusat Markas AS (CENTCOM), gelombang serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap cubaan serangan peluru berpandu Iran ke atas pasukan tentera AS di Jordan pada Selasa.
Tentera AS juga menyasarkan puluhan sasaran milik IRGC termasuk pusat-pusat pemerintahan tentera Iran.
Terdapat juga petanda perang yang bermula pada 28 Februari lalu apabila AS bersama Israel menyerang Teheran sehingga membunuh Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khameni itu semakin merebak dengan melibatkan lebih banyak negara, sekali gus meningkatkan risiko kepada rantau tersebut dan ekonomi global.
Selepas Arab Saudi menyertai AS melancarkan serangan terhadap kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq, Mesir mengesahkan pada Khamis serangan dron telah mencetuskan kebakaran pada dua kapal gas asli di Pelabuhan Damietta di Mediterranean.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump dan Naib Presiden, JD Vance pada Rabu bagi menyampaikan mesej daripada Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman bahawa Riyadh tidak mahu meningkatkan konflik dengan Iran, menurut satu sumber yang mengetahui perkara berkenaan.
Pertemuan berasingan itu diadakan dalam tempoh 24 jam selepas serangan bersama AS dan Arab Saudi terhadap kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq, menurut seorang pegawai Rumah Putih.
Dalam pertemuan itu, Khalid menjelaskan kumpulan bersenjata disokong Iran sudah melampaui batas dan Arab Saudi tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas infrastruktur awam atau kemudahan tenaganya.
Beliau turut menegaskan serangan itu bertujuan menunjukkan keupayaan Arab Saudi mempertahankan diri apabila diperlukan, bukannya sebagai tanda sokongan terhadap peningkatan peperangan.
Menurut sumber itu, Arab Saudi percaya sebarang peningkatan konflik akan membawa risiko yang tidak dapat dijangka dan berpotensi memanjangkan perang, sesuatu yang tidak diinginkan kerajaan itu bagi rantau berkenaan.
Setakat ini, masih belum jelas pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan dron terhadap sebuah kemudahan simpanan terapung milik AS dan sebuah kapal tangki milik Greece di Mesir.
The post Iran lancar serangan balas dendam appeared first on Utusan Malaysia.





