Iran tolak pemindahan uranium diperkaya ke luar negara

WorldPolitics
21 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran tolak pemindahan uranium diperkaya ke luar negara

TEHERAN: Iran tidak akan membenarkan bahan nuklear diperkaya dibawa keluar dari negara itu dan menegaskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) tidak akan diteruskan selagi Washington gagal memenuhi syarat Teheran, menurut pegawai kanan Iran.

Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei menyampaikan pendirian itu kepada Ketua Tentera Pakistan, Asim Munir yang mengadakan lawatan ke Teheran ketika Islamabad memperbaharui usaha menjadi pengantara bagi mencapai perjanjian damai antara Iran dan AS, menurut laporan televisyen kerajaan.

“Tidak sedikit pun bahan nuklear diperkaya akan dibawa keluar dari Iran. Bahan itu merupakan aset utama dan kekayaan negara rakyat Iran yang bertujuan untuk digunakan di dalam negara,” kata Rezaei.

Beliau menegaskan rundingan tidak akan berlangsung sehingga AS mengambil langkah membina kepercayaan, bermula dengan memenuhi syarat yang ditetapkan Iran.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menolak rundingan yang berlangsung di bawah ancaman AS ketika bertemu Asim.

“AS mesti terlebih dahulu menarik balik ancaman dan sekatan. Hanya selepas itu kita boleh mengadakan dialog,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Iran kini tidak mempercayai AS dan bimbang Washington akan melancarkan serangan sekali lagi sekiranya Teheran bersetuju meneruskan rundingan.

Ketua perunding Iran yang juga Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf menyampaikan pendirian serupa kepada Asim.

“Kami tidak mempunyai apa-apa yang baharu untuk diperkatakan. AS tidak boleh memperoleh kepercayaan Iran selagi tidak memenuhi tujuh syarat itu,” katanya sambil menegaskan ancaman dan gerakan ketenteraan tidak akan mempengaruhi keputusan strategik Iran.

Antara tuntutan Iran ialah gencatan senjata di seluruh Asia Barat, pembekuan asetnya di luar negara ditarik balik serta sekatan terhadap sektor minyaknya dimansuhkan.

Perang di Asia Barat tercetus pada penghujung Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran ketika Washington dan Teheran sedang berunding mengenai program nuklear negara itu.

Kedua-dua pihak bersetuju dengan memorandum persefahaman pada Jun yang dijangka menyediakan kerangka bagi penyelesaian kekal konflik berkenaan, namun persetujuan itu tidak bertahan lama.

Rundingan secara berkesan menemui jalan buntu sejak itu, manakala perbincangan tidak langsung antara AS dan Iran di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini gagal mencapai kemajuan ketara.

Teheran sebelum ini menegaskan tidak akan menyerahkan bahan nuklearnya yang diperkaya kepada mana-mana negara. Bahan itu diperkaya sehingga 60 peratus, menghampiri tahap 90 peratus yang lazim dikaitkan dengan uranium gred senjata nuklear.

Bagaimanapun, Iran pernah memberi bayangan bahan berkenaan boleh dicairkan tahap pengayaannya di dalam negara.

Washington dan sekutunya mengenakan beberapa siri sekatan terhadap Iran atas tuduhan negara itu berusaha membangunkan senjata nuklear, dakwaan yang sekian lama dinafikan Teheran.-AFP

The post Iran tolak pemindahan uranium diperkaya ke luar negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved