Iring tertuduh ke mahkamah: Tekanan terhadap Kulasegaran semakin memuncak

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Arun (dua dari kanan) berbual bersama Kulasegaran (kanan) sambil ditemani barisan peguamnya.

TINDAKAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang dilihat mengiringi Arun Dorasamy ke mahkamah membuka perbahasan lebih luas mengenai batas peranan pemimpin kerajaan dalam kes berkaitan institusi agama.

Isu tersebut bukan sekadar persoalan persepsi, malah telah berkembang menjadi tekanan politik apabila beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang tampil menggesa beliau meletakkan jawatan bagi menjaga integriti pentadbiran.

Meskipun tiada bukti jelas campur tangan secara langsung, tindakan itu tetap menimbulkan persoalan persepsi awam terhadap kebebasan institusi serta pemisahan kuasa antara eksekutif dan badan kehakiman.

Malah beberapa pemimpin parti politik termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda antara yang lantang menyuarakan gesaan agar tindakan tegas diambil.

Mereka berpandangan bahawa kehadiran seorang timbalan menteri dalam situasi sedemikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prinsip keadilan.

Desakan supaya peletakan jawatan turut dilihat selari dengan pendekatan politik semasa yang menekankan akauntabiliti moral, bukan sekadar aspek perundangan.

Kontroversi ini turut memberi kesan kepada imej Kerajaan Perpaduan yang sering menekankan prinsip tadbir urus baik dan integriti.

Dalam keadaan sokongan politik yang masih memerlukan keseimbangan antara pelbagai parti, isu berkenaan berpotensi dimanipulasi sebagai naratif kelemahan kepimpinan.

Lebih membimbangkan, ia juga boleh menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati.

Kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Ipoh Barat itu memperlihatkan bagaimana satu tindakan yang mungkin dilihat kecil, boleh berkembang menjadi isu nasional apabila melibatkan sensitiviti agama dan integriti institusi.

Sama ada beliau akan terus bertahan atau mengambil langkah berundur, tekanan politik dijangka terus meningkat selagi isu persepsi awam tidak ditangani secara tuntas.