Kulasegaran kena lebih memahami sensitiviti isu -Young Syefura

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 1:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Young Syefura Othman

KUANTAN – Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang dilihat mengiringi aktivis, Arun Dorasamy di mahkamah baru-baru ini berpotensi menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, Kulasegaran sepatutnya lebih memahami sensitiviti isu yang sedang berlaku.

Menurutnya, bagi pandangan umum,tindakan itu dilihat sebagai pendirian dan kepekaan pihak berkenaan dalam menangani isu semasa yang sensitif itu.

"Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana beliau sepatutnya lebih memahami sensitiviti isu yang sedang berlaku ketika ini.

"Sudahlah orang pertikai layanan yang berbeza, kemudian dengan hal mcm ni lagi membuatkan optik yang sangat teruk," ujarnya berkongsi pandangan peribadi menerusi satu hantaran di Threads.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai reaksi terhadap kebimbangan orang ramai yang mempersoalkan persepsi ‘layanan berbeza’ dalam kes melibatkan individu tertentu, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan terhadap institusi dan sistem sedia ada.

Terdahulu, Kulasegaran dilihat menemani Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal yang menghadapi pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.

Timbalan Menteri itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding yang melibatkan aktivis itu sebaliknya hanya sempat bertemu secara singkat di luar Kompleks Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal.

Beliau berkata, kunjungannya ke mahkamah adalah semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang, dengan tujuan bertemu Arun dan memberi dorongan supaya mempercayai proses perundangan semasa menghadapi prosiding yang akan datang.