
PETALING JAYA – Irkaz Travel & Tours Sdn Bhd (Irkaz Travel) yang kini memasuki tahun kedua dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH), menyasarkan seramai 300 jemaah bagi musim Haji 1448H/2027M bakal menempah pakej yang ditawarkan.
Bagi memenuhi keperluan jemaah haji, syarikat menawarkan dua pakej iaitu Pakej Selesa dan Pakej Premium Rotana sebagai usahanya untuk terus memperkukuh komitmennya dalam menawarkan pengurusan dan perkhidmatan Haji yang teratur, selesa serta memberi keutamaan kepada kebajikan jemaah.
Pakej Selesa disasarkan kepada bakal jemaah Panggilan Pertama (P1), iaitu mereka yang telah menerima tawaran rasmi menunaikan ibadah haji daripada Lembaga Tabung Haji Malaysia dengan harga yang ditawarkan adalah RM49,999 bagi bilik berempat.
Sementara itu, Pakej Premium Rotana ditawarkan bermula RM74,999 bagi bilik berempat, dengan antara kemudahan utama termasuk penginapan di Al Marwa Rayhaan by Rotana, kira-kira 100 meter dari Masjidil Haram.
Pakej berkenaan turut merangkumi penginapan di Aziziyah dan Grand Millennium Al Haram Hotel, kira-kira 50 meter dari Masjid Nabawi, selain perjalanan dari Mekah ke Madinah menggunakan Haramain High Speed Train.

Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk pengangkutan ziarah berhawa dingin di Mekah dan Madinah, makanan tiga kali sehari serta khidmat petugas Haji dan mutawif berpengalaman.
Ketua Operasi Haji Irkaz Travel, Amzari Jaafar berkata, kepercayaan yang diberikan untuk tahun kedua menjadi satu tanggungjawab besar buat syarikat dalam memastikan mutu perkhidmatan terus dipertingkatkan berdasarkan pengalaman mengendalikan jemaah pada musim lalu.
“Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun kedua Irkaz Travel diberi peluang dan kepercayaan sebagai PJH. Pengalaman musim pertama banyak mengajar kami mengenai keperluan sebenar jemaah, bukan sahaja dari aspek operasi tetapi juga keselesaan, kebajikan dan bimbingan sepanjang berada di Tanah Suci.
“Pengalaman tersebut menjadi asas untuk kami memperkemaskan lagi persediaan bagi musim 1448H/2027M. Kami mahu setiap jemaah yang bersama Irkaz Travel dapat memberi tumpuan kepada ibadah dengan lebih tenang kerana urusan perjalanan mereka diuruskan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Bagi melancarkan segala pengoperasian di Tanah Suci, syarikat mempunyai pasukan operasi dan bimbingan yang merangkumi Ketua Operasi Haji, Eksekutif Operasi Haji, Tour Leader, Mutawif serta Guru Agama bagi membantu perjalanan dan keperluan jemaah.
Dalam pada itu, Irkaz Travel bakal menyertai Karnival Haji, Umrah & Pelancongan 1448H/2027M yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober 2026 di Movenpick Convention Centre, Sepang.
Sempena karnival berkenaan, Irkaz Travel menawarkan diskaun sehingga RM5,000 kepada bakal jemaah yang mendaftar pakej Haji, tertakluk kepada terma dan syarat.
“Penyertaan kami dalam karnival ini memberi peluang kepada bakal jemaah dan ahli keluarga untuk bertemu sendiri dengan pasukan Irkaz Travel, bertanya soalan dan memahami dengan lebih jelas mengenai pakej, perjalanan serta persediaan sebelum membuat keputusan.
“Sempena tiga hari karnival ini, kami turut menyediakan tawaran istimewa sehingga RM5,000 sebagai salah satu nilai tambahan kepada bakal jemaah yang memilih untuk bersama Irkaz Travel bagi musim Haji akan datang,” jelas Mohd Zakri.
Pengunjung boleh bertemu pasukan Irkaz Travel di Booth A041 hingga A044, berhampiran pintu masuk Dewan Mentari. -KOSMO! ONLINE
The post Irkaz Travel sasar 300 jemaah haji tempah pakej yang ditawarkan appeared first on Kosmo Online.





