
TIDAK pernah terlintas di fikiran Ismail Roslan, kunjungan ke pedalaman Sarawak untuk menemui adiknya yang bertugas sebagai guru bakal membuka minatnya terhadap negeri Bumi Kenyalang itu.
Perjalanan jauh termasuk menaiki bot ke sebuah sekolah luar bandar di daerah Serian memberi pengalaman baharu buat pemuda yang kini berusia 39 tahun itu.
Ini kerana buat pertama kali, anak jati Ipoh, Perak itu melihat sendiri kehidupan masyarakat tempatan yang berbeza daripada yang biasa dilihatnya di Semenanjung.
Sejak itu, Ismail mula menyimpan cita-cita untuk menerokai kehidupan masyarakat di Malaysia Timur bagi mengenali ‘rakan senegara’ yang jarang diketengahkan oleh media arus perdana.
Bagaikan mengantuk disorong bantal, pegawai kastam tersebut akhirnya berpeluang meneroka negeri terbesar di Malaysia itu apabila ditugaskan untuk bekerja di Kuching, Sarawak pada 2015.
Menurut Ismail, pada asalnya dia berminat untuk melihat sendiri tempat, budaya dan kehidupan masyarakat tempatan serta berkongsi pengalaman di media sosial untuk tatapan keluarga serta rakan-rakan di Semenanjung.
Namun, dia tidak menyangka perkongsiannya mendapat sambutan, malah menarik perhatian lebih ramai untuk mengenali sisi Sarawak yang jarang dilihat termasuk dalam kalangan pembuat kandungan dari luar negara.
Bahkan, dia turut dikenali di Sarawak dan sering dijemput media tempatan untuk ditemu bual atau dijadikan subjek liputan.
“Sebagai penjawat awam, saya mencuri peluang pada hari cuti untuk menerokai budaya, makanan dan tempat pelancongan setempat.
“Pada asalnya, saya hanya berkongsi di media sosial supaya keluarga di Semenanjung dapat melihat kegiatan saya, tetapi tidak sangka pula perkongsian saya mendapat perhatian.
“Saya pernah dihubungi pencipta kandungan pengembaraan, Joe Hattab untuk mendapatkan panduan bagi rakaman kandungan di pedalaman Sarawak.
“Namun, saya menolak dengan baik kerana saya sendiri orang luar dan memintanya menghubungi pihak yang lebih sesuai,” katanya kepada CitaRasa.

Kini, selepas melakukan inisiatif itu selama lebih sedekad, daripada media sosialnya @ismail bin roslan dapat dilihat bagaimana usahanya itu menarik minat netizen-netizen dari Semenanjung untuk lebih mengenali Sarawak dan netizen-netizen dari Borneo mengikuti, mengagumi dan menyanjungi usahanya.
Berkongsi pengalaman dengan lebih mendalam, Ismail berkata, kunjungan ke Sarawak Cultural Village di Kuching membuatkan dia tertanya-tanya sama ada budaya tersebut turut diamalkan masyarakat setempat.
Perasaan ingin tahu itu seterusnya membawanya ke kawasan luar bandar seperti Ulu Baram, Kapit, Mukah, Mulu dan Bario yang kadangkala memerlukan perjalanan lebih lima jam.
Ada antara lokasi berkenaan yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak, manakala sesetengahnya pula memerlukan penerbangan dengan pesawat kecil.
Usaha meneroka kawasan berkenaan turut membolehkan Ismail menemukan lokasi tersembunyi yang jarang diketahui termasuk Air Terjun Ulu Baram yang disifatkannya sebagai ‘syurga air terjun’.
Lebih menarik, penerokaan itu turut membawanya menyaksikan ritual kepercayaan pagan yang semakin ditelan zaman.

Menurut Ismail, kebanyakan ritual berkenaan kini hanya dilakukan oleh golongan lebih berusia dan dalam skala kecil. Katanya, sebahagian generasi baharu di Borneo sudah menganut agama seperti Kristian atau Islam, menyebabkan amalan kepercayaan terdahulu semakin kurang dipraktikkan.
“Kita orang Semenanjung lebih tertumpu pada budaya tiga kaum utama Malaysia dan hanya tahu tentang kewujudan etnik di Borneo secara asas.
“Namun, kita tidak pernah tahu sisi kehidupan serta budaya mereka yang secara tidak langsung menambahkan lagi keunikan dalam negara ini.
“Jadi, saya rasa bertuah dan gembira sebab dapat tengok sendiri serta merakam momen-momen yang mungkin satu hari nanti dah tak dibuat lagi.
“Bahkan, ramai juga anak muda Borneo tidak pernah melihat ritual seperti ini kerana kebanyakan sudah merantau ke Semenanjung dan bermastautin di sana. Jadi, saya berharap sekurang-kurang generasi akan datang tahu ritual ini pernah ada melalui perkongsian tidak seberapa saya,” katanya.
Kepercayaan masyarakat setempat juga menjadi perkara penting buat Ismail sepanjang meneroka budaya dan kehidupan komuniti di Borneo terutama Sarawak.
Katanya, dia tidak mahu sewenang-wenangnya merakam atau berkongsi sesuatu yang berkaitan adat dan kepercayaan kerana bimbang berlaku salah faham. Sebaliknya, dia akan bertanya terlebih dahulu kepada penduduk setempat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan maklumat yang dikongsikan tepat.

Atas pendekatan tersebut, Ismail perlahan-lahan mendapat kepercayaan masyarakat setempat sehingga ada yang menganggapnya seperti anak angkat dari Semenanjung.
Kepercayaan itu turut membuka peluang kepadanya untuk dijemput ke kampung masyarakat Bidayuh di Kalimantan Barat, Indonesia yang bersempadan dengan Sarawak.
Jelasnya, pada ketika itu, dia dapat melihat sendiri perbezaan cara hidup serta amalan masyarakat Bidayuh di kedua-dua wilayah berkenaan, khususnya dalam penglibatan generasi muda terhadap adat dan ritual tradisional.
“Masyarakat Bidayuh di sempadan Kalimantan-Sarawak memiliki ikatan persaudaraan, namun saya dapat melihat perbezaan dalam penglibatan golongan muda dalam pelaksanaan ritual. Di sana, sambutan atau ritual itu lebih besar dan melibatkan seluruh kampung, daripada golongan tua hingga kanak-kanak, berbanding skala yang lebih kecil di Sarawak. Bagi saya, perkara ini sangat menarik kerana dapat melihat perbezaan perkembangan
komuniti Bidayuh yang sama tetapi terpisah oleh sempadan negara yang berbeza,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berharap rakyat Malaysia secara umumnya lebih terbuka untuk mengenali ‘saudara’ di Borneo yang mempunyai kepelbagaian kaum, budaya dan adat yang tersendiri.
Kedua-dua negeri yang bersama-sama membentuk Malaysia pada 1963 itu memiliki puluhan kumpulan etnik yang hidup secara harmoni biarpun mempunyai sistem kepimpinan dan aturan masyarakat tersendiri.
Jelasnya, dia kini menyimpan impian untuk terus menerokai lebih banyak kawasan di Borneo termasuk di Sabah, pada satu hari nanti agar lebih banyak komuniti dapat diketengahkan walaupun secara santai.
“Saya bukan berhajat untuk membuat dokumentari lengkap kerana saya bukan pempengaruh atau pencipta kandungan sepenuh masa.
“Namun, saya berharap perkongsian saya mengenai pengalaman bersama komuniti di Sarawak atau Borneo ini dapat membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri anak-anak tempatan terutama di Semenanjung,” katanya.
The post Ismail ‘jambatan’ Semenanjung-Borneo appeared first on Kosmo Online.




