Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan parti itu mengarahkan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sambil menjelaskan keputusan tersebut dibuat oleh Ismail sendiri.

Ahmad Zahid berkata, Ismail tidak menyatakan sebab di sebalik keputusannya. Beliau berpandangan Ismail mungkin mahu isu yang berlaku di negeri itu diselesaikan segera.
“Peletakan jawatan itu dibuat oleh Datuk Ismail sendiri. Tidak timbul soal UMNO mengarahkan beliau berbuat demikian.
“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya.
Zahid ditemui selepas menyempurnakan perasmian Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan malam Isnin mengesahkan pihaknya menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail. Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, salinan itu diterima Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN, manakala surat berkenaan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Istana Negeri Sembilan kemudian memaklumkan pihaknya mengambil maklum kenyataan BN itu. Dalam kenyataan pagi Selasa, Pengelola Bijaya Diraja menjelaskan pihak istana belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan. Menurut Zambry, surat itu telah ditandatangani oleh Ismail.

Ahmad Zahid berkata, surat peletakan jawatan tersebut sudah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut adat dan tatacara.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid mengesahkan BN mengemukakan satu nama calon Menteri Besar baharu untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, warkah yang mengandungi cadangan itu diserahkan kepada istana pada Isnin. Keputusan diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda, manakala pengumuman nama calon yang mendapat perkenan terletak di bawah bidang kuasa istana.






