
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dilaporkan tidak sihat dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital, di Seremban.
Perkara berkenaan disahkan oleh anaknya, Naim Ismail kepada Bernama.
“Betul, (Ismail) tak sihat,” katanya ringkas.
Bagaimanapun tiada pengesahan mengenai keadaan Ismai.
Manakala Setiausaha Akhbarnya, Mohd Fasha Musthafa memaklumkan keadaan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, dilaporkan semakin pulih dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan orang ramai.
“Terima kasih atas keprihatinan semua. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar beliau segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.
Ketika ini Negeri Sembilan berdepan dengan kemelut politik berhubung kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar.
Pada Selasa, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan seseorang Menteri Besar hanya akan berkuat kuasa dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan Perlembagaan Negeri.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad berkata sebanyak 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) gabungan itu dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kata sepakat untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.
Mohamad Hasan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu perjumpaan khas yang berlangsung di Wisma Umno di negeri berkenaan. - 22 November, 2026
The post Ismail Lasim tidak sihat, dirawat di hospital appeared first on Scoop.






