
SEREMBAN — Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memohon pihak berkuasa menilai semula dengan segera arahan yang melarang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri, termasuk arahan yang didakwa menghalang mereka menjalankan fungsi sebagai Exco.
Beliau berkata, penilaian semula itu perlu mengambil kira asas dan skop arahan berkenaan, selain memastikan urusan rakyat serta pentadbiran kerajaan negeri tidak terganggu.
“Saya memohon pihak berkuasa yang berkenaan menilai semula arahan tersebut dengan segera, termasuk asas dan skopnya dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum dimuktamadkan serta keperluan memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu,” katanya pada sidang media, di Seremban, hari ini.
Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, semua Exco bukan sahaja tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri, malah turut tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai Exco dan mengadakan mesyuarat Exco.
Beliau berkata, arahan berkenaan dimaklumkan secara lisan kepada semua Exco sejak semalam dan setakat ini tidak disertakan arahan bertulis atau perintah mahkamah.
“Setakat ini saya difahamkan pihak berkuasa tidak memberi arahan bertulis dengan tidak membenarkan Exco masuk pejabat, mengadakan mesyuarat Exco dan menjalankan fungsi mereka.
“Justeru, saya menyeru pihak berkuasa menilai semula perkara ini kerana kita tidak mahu kepentingan rakyat terjejas disebabkan perkara ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Ismail mohon arahan larang Exco masuk pejabat dinilai semula segera appeared first on Kosmo Online.






