
SEREMBAN: Peranan pegawai masjid dan surau amat besar dalam mendekati masyarakat, memahami keadaan setempat serta menjadi tempat orang ramai mendapatkan pandangan dan bimbingan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, masjid dan surau bukan sekadar tempat beribadah, sebaliknya institusi yang berperanan membina masyarakat, menyatukan umat serta menjadi benteng dalam memelihara akhlak dan kesejahteraan sosial.
Menurutnya , pegawai masjid dan surau perlu cakna terhadap isu sosial dan kesalahan Syariah dengan mengambil tindakan berlandaskan ilmu, hikmah serta memahami batas kuasa dan undang-undang.
“Kita tidak mahu kemungkaran dibiarkan, tetapi kita juga tidak mahu tindakan diambil berdasarkan emosi tanpa memahami batas kuasa dan undang-undang.
“Dalam keadaan tertentu, undang-undang memberikan kuasa kepada pegawai masjid untuk membantu menangani kesalahan yang berlaku. Kuasa ini hendaklah dilihat sebagai satu amanah, bukan keistimewaan,” katanya pada Seminar Khas Pegawai Masjid Seluruh Negeri Sembilan di Masjid Seri Sendayan, di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said.
Ismail berkata, pendekatan menangani jenayah Syariah bukan sekadar bersifat penguatkuasaan, tetapi turut menekankan pencegahan, pendidikan dan pembinaan masyarakat.
“Masjid dan surau khususnya perlu terus menjadi tempat anak-anak muda mendekati agama, mendapatkan bimbingan dan membina jati diri,” katanya.-UTUSAN.
The post Pegawai masjid, surau amat perlu dekati masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.





